Muhammad Haziq bin Noor Affandi .
Diterbitkan pada 11 Julai 2025, 14:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

 

Berseri – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah bahawa setiap pelajar perlu berani menyuarakan pendapat, menyatakan kebenaran, dan menolak budaya ikut-ikutan yang tidak membawa manfaat dalam kalangan pelajar.

Demikian titah baginda ketika berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Program Titian Kasih Mega 2025 bagi peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Suleiman, Beseri, semalam.

Program anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis ini melibatkan sebanyak 338 pelajar lelaki dan 309 pelajar perempuan dari Tingkatan satu (1) hingga Tingkatan tiga (3) sekolah tersebut.

Baginda bertitah, para pelajar perlu berdiri teguh dengan mengamalkan prinsip keberanian menolak segala perkara yang merugikan, dan memilih jalan yang benar walaupun sukar ditempuhi.

“Janganlah gentar untuk mencuba perkara baharu kerana kegagalan bukanlah satu kekalahan, tetapi satu pengajaran yang sangat berharga.

“Ingatlah, banyak tokoh besar dunia pernah gagal berkali-kali sebelum mereka menemui kejayaan sebenar, namun kegagalan hari ini bukan bermakna gagal selama-lamanya,” titah baginda.

Raja Muda Perlis, (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra merasmikan Program Titian Kasih Mega 2025 bagi peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Suleiman, Beseri.

Sementara itu, Pengetua SMK Tengku Suleiman dalam ucapan aluannya, memaklumkan bahawa beliau menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian cemerlang sekolah dalam bidang akademik dan kokurikulum, malah turut berkongsi pencapaian akademik, keputusan peperiksaan awam tahun lalu.

Bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sekolah ini telah mencatatkan peratus kelulusan sebanyak 96.18 peratus, dengan dua orang pelajar memperoleh A dalam kesemua mata pelajaran, manakala bagi Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), sekolah berjaya merekodkan purata  Nilai Gred Kumulatif (PNGK), iaitu 2.87 peratus meningkat sebanyak 0.01 peratus, dengan empat pelajar memperoleh PNGK 4.00 dalam peperiksaan tersebut.

Dalam bidang kokurikulum, beliau mengatakan bahawa para pelajar SMK Tengku Suleiman giat aktif menyertai pelbagai pertandingan peringkat sekolah, negeri dan kebangsaan.

“Antara pencapaian yang membanggakan termasuk kejayaan pasukan Persatuan Sejarah berjaya meraih tempat pertama dalam Pertadningan Kuiz Sejarah pada peringkat kebangsaan, sekaligus  melayakkan diri ke peringkat antarabangsa,” jelas beliau.

Selain itu, bagi sukan memanah, Muzammil Zairi Mumtaz telah mewakili Negeri Perlis ke Kejohanan Memanah Tradisional pada peringkat kebangsaan selepas berjaya meraih johan bagi kategori 17 tahun dalam sukan tersebut. Manakala, sukan catur juga berjaya diwakili oleh seorang pelajar dari SMK Tengku Suleiman pada peringkat negeri Kejohanan Catur MSSM baru-baru ini.

“Pencapaian ini membuktikan bahawa para pelajar bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah turut menyerlah dalam pembangunan sahsiah, kepimpinan dan aktiviti kokurikulum,” ujar beliau.

Lanjutan daripada itu, beliau juga menekankan usaha sekolah dalam memperkasakan pembelajaran digital seiring perkembangan teknologi semasa.

“Antara inisiatif yang diperkenalkan termasuk bilik darjah pintar serta pelaksanaan sistem pengajaran dan pembelajaran berasaskan teknologi seperti Google Classroom dan platform DELIMA,” tambah beliau lagi.

Pada masa yang sama, Tuanku Raja Muda Perlis turut berkenan menyempurnakan perasmian Daisy Café yang merupakan pusat tauliah khas kepada murid  Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), yang menawarkan  kursus Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOOS) dan Bahan Instrumen bertulis 9WIM), dan dinilai oleh pegawai penilai luar untuk menerima sijil pencapaian JPK.

Sebanyak 17 orang murid dilatih mengikut piawaian Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) dan Bahan Instrumen Bertulis (WIM), dan akan dinilai oleh Pegawai Penilai Luar untuk menerima Sijil Pencapaian JPK.

Sebagai rekod, sejak tahun 2025, kafe ini dikendalikan oleh guru bersama murid, menawarkan latihan praktikal seperti menyambut tetamu, servis makanan dan tugasan pramusaji.

Turut berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, YBrs. Encik Rose Aza Che Arifin dan Pengetua SMK Tengku Suleiman, YBrs. Encik Medzerimi Mat.

Yang turut hadir dalam majlis ini termasuklah Setiausaha Kehormat  YTSP Perlis, YBhg. Datuk Johari Mohd Darus serta Ketua Penyelaras Program, Mejar Muhamad Azuan Mohamad Nasir.

Raja Muda Perlis, (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra, diiringi bersama- sama Raja Puan Muda Perlis, (DYTM) Tuanku Dr. Lailatul Shahreen Akashah Khalil meninjau Daisy Café yang merupakan satu daripada pusat tauliah khas kepada murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI),
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi