Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bahawa keputusan peperiksaan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) Semester 4 Sesi 2/2024 bagi Kohort 2023 akan diumumkan pada hari esok.
Sebanyak 15 897 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan tersebut yang berlangsung di 86 buah kolej vokasional di seluruh negara.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh KPM petang tadi, calon boleh mendapatkan keputusan masing-masing melalui dua kaedah, iaitu mengambil keputusan secara fizikal di kolej vokasional tempat calon mendaftar atau menyemak keputusan secara dalam talian melalui pautan myresultsvm.moe.gov.my, bermula pukul 10.00 pagi pada 7 Julai 2025 (Isnin) hingga 6.00 petang pada 13 Julai 2025 (Ahad).
KPM merakamkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada semua calon yang berjaya menamatkan pengajian mereka di peringkat SVM.
“Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin kepada pelajar untuk terus cemerlang dalam bidang kemahiran dan menyumbang kepada pembangunan negara menerusi laluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang progresif dan berdaya saing,” menurut kenyataan tersebut.
SVM merupakan satu daripada laluan TVET di bawah KPM yang memberikan tumpuan kepada kemahiran praktikal serta latihan industri, sekali gus melahirkan tenaga kerja mahir yang memenuhi keperluan industri negara.