Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTapah – Program Kembara Majalah Dalam Kelas (MDK) untuk Guru yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berjaya memperkasakan peranan guru dalam menjadikan majalah terbitan DBP sebagai alat bantu proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Majalah yang dipilih untuk program ini termasuklah Dewan Siswa, Dewan Pelajar dan Pelita Bahasa.
Program yang berlangsung di Sekolah Menengah Sains Tapah ini memberikan penekanan kepada latihan berbentuk simulasi dan pengalaman secara langsung kepada guru-guru untuk melaksanakan aktiviti MDK di dalam bilik darjah secara kreatif dan tersusun.
Program ini merupakan sebahagian daripada pengisian Program Kembara Majalah Dalam Kelas Peringkat Negeri Perak 2025. Sebanyak 43 orang guru sekolah rendah dan sekolah menengah dari 43 buah sekolah terpilih di sekitar negeri Perak telah menyertai program ini.

Para guru telah dibimbing secara interaktif melalui slot ceramah dan bengkel oleh Encik Nik Mohd Iznan Tuan Yaakub, iaitu pensyarah di Politeknik Ungku Omar yang juga banyak menulis dalam majalah terbitan DBP. Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah menukarkan rencana kepada pantun, meneruskan cerpen dan menukarkan komik kepada cerpen.

Menurut beliau, majalah bukan sekadar bahan bacaan. Majalah merupakan sumber ilmu yang boleh memperkayakan ilmu dan mendorong pelajar berfikir.
“Guru yang bijak memanfaatkan majalah dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) bukan sahaja dapat menimbulkan minat pelajar, bahkan dapat mencungkil bakat dan potensi mereka dalam pelbagai bidang.” Ujar beliau.
Para guru juga didedahkan dengan pelbagai manfaat dan potensi penggunaan majalah dalam konteks pendidikan. Antaranya termasuklah memartabatkan penggunaan bahasa kebangsaan, memperkayakan kandungan pengajaran bukan teks serta memperkukuh ilmu, nilai dan pemikiran pelajar.
“Majalah juga berupaya mengembangkan bakat penulisan, memperkenalkan pelajar kepada kesusasteraan dan kebudayaan Malaysia serta membantu membentuk pemikiran dan budaya yang sihat dalam kalangan generasi muda.” Tambah beliau lanjut.

Program ini juga membantu guru memahami kegunaan majalah sebagai alat pembelajaran alternatif, menambah sumber ilmu di luar buku teks serta mengasah minat dan bakat pelajar dalam bidang bahasa dan komunikasi.
Puan Nurbaiti Zaini, guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Tapah menyifatkan program ini sebagai satu pengalaman yang membuka minda. Menurut beliau:
Program ini membantu saya melihat majalah sebagai satu alat yang berpotensi besar dalam kelas. Majalah bukan sekadar bahan bacaan tetapi boleh menjadi sumber ilham untuk murid berfikir dengan lebih kreatif. Malah memupuk semangat berdiskusi secara terbuka dan membina keyakinan diri melalui penulisan dan pembentangan. Saya teruja untuk melaksanakannya di sekolah nanti.
Sementara itu, Puan Nor Izzatie Mohamad Yuhar, guru dari SMK Chenderiang pula melihat program ini sebagai inisiatif yang wajar diperluaskan di sekolah. Menurut beliau:
Banyak guru selama ini yang mungkin tidak menyedari bahawa majalah boleh menjadi bahan bantu mengajar yang sangat menarik dan berkesan. Saya percaya, apabila murid melihat majalah sebagai sesuatu yang relevan dan menyeronokkan, mereka akan lebih berminat untuk belajar. Program ini memberikan saya inspirasi untuk memperkasakan pembelajaran yang lebih segar.

Majlis Penutupan Program Kembara Majalah Dalam Kelas Peringkat Negeri Perak 2025 telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah, Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri Perak, YBrs. Dr. Mior Hamdan Haji Ghazali. Kehadiran beliau menyerlahkan sokongan pihak Jabatan Pendidikan Negeri terhadap usaha menjadikan majalah sebagai bahan pembelajaran berimpak tinggi yang mampu menyemarakkan budaya ilmu.