Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBangi – “Nyala rasa sebagai seorang guru harus sentiasa ada dalam diri. Hal ini demikian kerana, guru yang berkualiti adalah tulang belakang kepada reformasi pendidikan negara.”
Demikian antara inti pati amanat Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek sebelum merasmikan sidang ketujuh Istiadat Konvokesyen Institut Pendidikan Guru Kementerian Pendidikan Malaysia (IPG KPM) Ke-15 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Bangi Avenue (BACC), hari ini.
Dalam ucapannya, YB Fadhlina menegaskan bahawa KPM bersama-sama dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan telah melaksanakan reformasi pendidikan bagi mengatasi masalah kekurangan guru di sekolah dengan melahirkan guru-guru berkualiti, yang bukan sahaja mempunyai ilmu dan kemahiran, tetapi juga mempunyai semangat kebaktian terhadap pendidikan.
YB Fadhlina turut menyentuh pelbagai inisiatif reformasi pendidikan, termasuk pelaksanaan IPG sebagai Sekolah Mengajar (teaching school) yang bertujuan untuk meminjamkan kepakaran dalam pendidikan untuk membantu sekolah di sekitar IPG bagi melaksanakan tugas-tugas perguruan.

Selain itu, beliau menjelaskan bahawa KPM turut prihatin dengan kebajikan guru dengan melaksanakan reformasi pendidikan berbentuk pengurangan beban tugas guru menerusi sistem sokongan yang lebih berkesan.
“Indeks kesejahteraan guru juga sedang dibangunkan bagi memastikan kebajikan mereka terus terpelihara,” jelas beliau.
YB Fadhlina turut menekankan bahawa kepercayaan murid terhadap guru sebagai antara kunci keberkesanan sistem pendidikan. “Martabat pendidikan harus diangkat tinggi kerana hanya dengan pendidikan yang unggul, kita mampu membina tamadun bangsa,” tambahnya.
Beliau turut mengumumkan bahawa kumpulan pertama Ijazah Sarjana daripada IPG akan bergraduasi pada tahun hadapan, sebagai bukti komitmen kerajaan untuk menaik taraf kelayakan akademik warga pendidik ke peringkat lebih tinggi.
Konvokesyen berpusat pada kali ini meraikan sebanyak 5,390 orang graduan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) Ambilan Jun 2021 daripada 28 kampus IPG dan Pusat Pendidikan Bahasa Inggeris (ELTC). Mereka dianugerahkan ijazah, diploma dan sijil dalam lapan sidang yang berlangsung bermula dari 30 Jun hingga 3 Julai.
Majlis turut menyaksikan penganugerahan kepada penerima Anugerah Khas bagi kecemerlangan dalam bidang tertentu, iaitu Anugerah Khas Kokurikulum: Muhammad Naufal Asyraf Norman (IPG Kampus Tuanku Bainun); Anugerah Khas Kepimpinan: Muhammad Aiman Arif Abu Bakar (IPG Kampus Ipoh) dan Anugerah Emas: Muhammad Daniel Rosli (IPG Kampus Temenggong Ibrahim).
Penerimaan secara anumerta turut diberikan kepada Allahyarhamha Nurul Alya Fatnin Mohd Mawardzi (IPG Kampus Sultan Mizan), yang menamatkan pengajian dalam bidang Pendidikan Islam Pendidikan Rendah sebelum meninggal dunia.
Turut hadir dalam sidang konvokesyen ialah Timbalan Rektor Kanan Pusat Kecemerlangan Akademik IPGM, YBhg. Dato’ Hj. Mohd Zamri Hj. Abdul Aziz dan Timbalan Rektor Pusat Peperiksaan dan Penganugerahan IPG, YBhg. Dr. Ismail Mohamed.
Sebagai rekod, sejak dilaksanakan secara berpusat pada tahun 2011 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), konvokesyen IPG terus menjadi acara penting bagi menghargai pencapaian bakal pendidik negara.