Diterbitkan pada 30 Jun 2025, 16:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Struktur organisasi yang teratur dan tahap disiplin tinggi dalam kalangan ahli Baden-Powell Scout Club dari Hong Kong telah menjadi sumber inspirasi kepada Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) dalam usaha memperkukuh pengurusan dan hala tuju gerakan pengakap negara.

Ketua Pengakap Negara, Yang Berbahagia (YBhg.) Mejar Jeneral Profesor Dato’ Dr. Mohd Zin bin Bidin (B) berkata, lawatan rasmi melibatkan sebanyak 30 orang ahli delegasi dari Hong Kong itu bukan sahaja mengeratkan hubungan dua hala antara kedua-dua pertubuhan, malah membuka ruang kepada pertukaran idea serta penambahbaikan dalam sistem pengurusan PPM.

“Saya amat tertarik dengan tahap disiplin mereka yang tinggi serta kekemasan dalam berpakaian seragam. Mereka juga mempunyai sistem organisasi yang sangat rapi dan efisien. Banyak perkara yang boleh kita pelajari, terutamanya dalam aspek pengurusan sukarelawan serta kesiapsiagaan pasukan mereka,” katanya.

Ketua Pengakap Negara, YBhg. Mejar Jeneral Profesor Dato’ Dr. Mohd Zin bin Bidin (B) telah menganugerahkan Pingat Persahabatan Antarabangsa kepada Tokoh Baden-Powell Scout Club Hong Kong.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Jamuan Mesra Persahabatan (Fellowship Dinner) yang diadakan di Kelab Tasik Diraja Kuala Lumpur.

YBhg. Mejar Jeneral Profesor Dato’ Dr. Mohd Zin turut mencadangkan agar ahli PPM mengambil peluang untuk melawat Hong Kong sebagai langkah timbal balik bagi memperkukuh hubungan kerjasama antarabangsa yang sedia terjalin.

Majlis tersebut turut menyaksikan pertukaran cenderamata rasmi sebagai simbolik kepada jalinan persahabatan dan kerjasama strategik antara kedua-dua organisasi pengakap.

Sebagai tanda penghargaan atas sumbangan serta hubungan erat yang terjalin, dua orang tokoh dari Baden-Powell Scout Club Hong Kong, Naib Presiden Au Sek Lun dan Dr. Ernest Ma telah dianugerahkan Pingat Persahabatan Antarabangsa oleh YBhg. Mejar Jeneral Profesor Dato’ Dr. Mohd Zin.

Turut hadir memeriahkan majlis ini ialah Pemangku Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Yang Berusaha (YBrs.) Dr. Mohammed Mukhyuddin Sarwani; Pesuruhjaya Antarabangsa, Cik Norma Nordin; Presiden Malaysia B-P Guild, YBhg. Datin Norliza Mohd Noor; Pesuruhjaya Kebangsaan, YBrs. Mejar Andrew Yong Fatt Seng; Pesuruhjaya Ibu Pejabat Kebangsaan, Encik Lim Kian Boon serta Pesuruhjaya Ibu Pejabat Negeri Perak, Encik Soo Mun Chuen.

Delegasi dari Hong Kong yang diketuai oleh presiden kelab,  Encik So Kai Ming, berada di Malaysia dari 27 Jun hingga 1 Julai 2025 sebagai sebahagian daripada acara lawatan rasmi mereka.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi