Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMembakut – Bersempena dengan sambutan Ulang Tahun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Ke-69, DBP mendekati masyarakat Sabah, khususnya di Membakut melalui pelaksanaan program Kayuhan MADANI nan Abadi (MANA) pada pagi tadi.
Terdapat beberapa tempat persinggahan sepanjang kayuhan ini, termasuklah di SMK Membakut 2, Perpustakaan Desa Kg. Pimping, SK Jaya Pimping dan Dewan Sri Wawasan Kg. Pimping.
Istimewanya, program kayuhan dengan kerjasama Kelab Pemilik Basikal Retro Membakut ini juga melambangkan bahawa kegiatan mengembangkan bahasa Melayu boleh dilakukan di pelbagai tempat dengan berbagai-bagai cara, termasuklah melalui kayuhan berbasikal.


Program ini secara tidak langsung membolehkan masyarakat mengenali dan mengetahui tugas dan peranan DBP dalam mendaulatkan dan mengangkat darjat bahasa Melayu.
Setiap tempat persinggahan juga menerima sumbangan buku terbitan DBP dalam pelbagai judul, khususnya yang berkaitan dengan bahasa dan kesusasteraan.


Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari juga merakamkan penghargaan kepada pihak sekolah kerana sudi menerima kunjungan kayuhan ini.
Terangnya lagi ketika menyerahkan sumbangan DBP,
Bahan bacaan tambahan berupa buku terbitan DBP ini diharapkan dapat membantu para guru dan murid dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Tugas DBP adalah untuk memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan juga meningkatkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat.
Kayuhan yang bermula pada pukul tujuh pagi pagi ini berakhir pada pukul 9.00 pagi di Dewan Sri Wawasan.
Turut memeriahkan acara ialah pelibatan staf pejabat ADUN Membakut dalam kayuhan tersebut.