Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMembakut – Karnival MADANI nan Abadi (MANA) yang dianjurkan bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun ke-69 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menjadi medan meraikan ilmu, bahasa dan budaya dalam kalangan masyarakat di Membakut.
Sebanyak sembilan acara menarik telah dilaksanakan sepanjang karnival ini, termasuklah Kayuhan Prihatin; Seronoknya Membaca dan Pertandingan Mewarna; Program Kembara Majalah Dalam Kelas; Sahabat Kata; Eksplorasi Bahasa dan Persembahan Bayan yang mencakupi penyertaan daripada warga Sipitang, Beaufort, Keningau, Papar dan Kuala Penyu.
Majlis Perasmian Penutupan dan Penyampaian Hadiah Karnival MANA telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari yang menyifatkan penganjuran karnival ini sebagai suatu usaha dalam memperteguh jati diri bangsa serta memperkasakan nilai murni dalam kalangan masyarakat.

Menurut beliau, karnival ini bukan sekadar acara hiburan, sebaliknya merupakan sebuah wadah berwibawa yang mempertemukan pemikir, penggiat bahasa dan sastera, pendidik dan murid dalam suasana yang membina dan mencerdaskan minda.
“Karnival MANA merupakan manifestasi iltizam DBP dalam menyemarakkan budaya ilmu, memperkukuh penghayatan bahasa Melayu dan menyemai kecintaan terhadap khazanah budaya tempatan dalam kalangan generasi muda,” ujar beliau dalam ucapan penutupan.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Encik Mudin Beting selaku wakil kepada Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, YBhg. Datuk Haji Raisin Saidin turut menyatakan penghargaan atas kehadiran DBP ke Sabah dalam menjayakan pelbagai program di Membakut.

“Kami semua amat bertuah dengan kehadiran DBP ke negeri ini untuk mengadakan pelbagai aktiviti dan inisiatif seperti penganjuran Karnival MANA yang berperanan besar dalam mengukuhkan ekosistem bahasa dan budaya dalam acuan Malaysia MADANI,” ujar beliau.
Tambahnya, tema “MADANI nan Abadi” sangat bertepatan dengan usaha menyemai nilai insani dan membudayakan ilmu dalam kalangan generasi muda yang bakal mewarisi kepimpinan negara.
“Saya memuji dan mengiktiraf kesungguhan DBP sebagai agensi utama bahasa dan sastera di negara ini yang terus gigih mempertahankan bahasa kebangsaan meskipun berhadapan dengan cabaran era globalisasi dan digitalisasi,” jelasnya.
Sambungnya lagi, “Saya amat teruja dengan penyertaan pelbagai sekolah dari seluruh daerah di Sabah yang mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti yang dianjurkan dan hal ini membuktikan bahawa bahasa dan sastera bukanlah sesuatu yang asing bagi generasi muda, malah telah berjaya menjadi medan ekspresi diri yang membina,” katanya menutup ucapan.
Terdahulu, Pengetua SMK Membakut, Encik Matrudin Radin dalam ucapan alu-aluannya menzahirkan rasa bangga dan terima kasih atas pemilihan sekolah beliau sebagai tuan rumah sambil menyifatkan penganjuran Karnival MANA sebagai penghormatan yang besar kepada seluruh warga sekolah dan komuniti setempat.
“Kehadiran DBP serta pelbagai pihak yang menjayakan acara ini telah membuka ruang yang luas kepada pelajar untuk mendekati bahasa dan sastera dengan lebih kreatif dan menghiburkan,” ujar beliau.

Dalam acara yang sama, DBP turut menyampaikan sumbangan wakaf buku kepada lima buah sekolah, iaitu SMK Membakut; SMK Kinarut, Papar; SK Kawang, Sipitang; Sekolah Kebangsaan St. Joseph, Kuala Penyu; dan SMK St. Francis Xavier, Keningau sebagai usaha memperluas akses kepada bahan bacaan bermutu, menggalakkan budaya membaca dalam kalangan pelajar serta menyokong pembangunan ekosistem pendidikan yang berteraskan bahasa dan sastera kebangsaan.

Majlis ini turut menyaksikan penyampaian hadiah kepada para pemenang Program Eksplorasi Bahasa yang menerima hadiah wang tunai, sijil penghargaan, majalah terbitan DBP dan cek cura.

Terdahulu, Karnival MANA telah berlangsung di daerah Tuaran yang turut mendapat sambutan memberangsangkan daripada warga pendidik dan pelajar.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Presiden Bahasa dan Sastera Sabah, YBhg. Datuk Jasni Matlani, Pengarah DBP Cawangan Sabah, Puan Jennitah Noordin, pegawai DBP, pegawai pendidikan daerah, guru pengiring dan pelajar yang terlibat secara langsung dalam Karnival MANA.