Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTuaran – Majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) merupakan bahan bacaan berkualiti yang dapat membentuk pemikiran yang kritis dan kreatif dalam kalangan pelajar, sekali gus berupaya membentuk hala tuju masa hadapan mereka sebagai generasi celik ilmu yang berpengetahuan.
Sehubungan dengan itu, DBP terus menggandakan usaha dengan mendekatkan bahan bacaan terbitannya kepada pelajar melalui pelaksanaan Program Kembara Majalah Dalam Kelas (MDK) untuk memperkenalkan majalah sebagai sumber ilmu yang bermutu tinggi.
Demikian antara inti pati ucapan Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari dalam Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Karnival MADANI Nan Abadi (MANA) yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badin, Tuaran.

Menurutnya, majalah seperti Dewan Siswa, Dewan Pelajar dan Dewan Masyarakat telah terbukti berkesan penggunaannya dalam bilik darjah dan sering dijadikan sebagai sumber kandungan dalam peperiksaan seperti Sijil Pelajaran Malaysia.
“Pada masa yang sama, perkembangan teknologi dan penggunaan meluas media digital menjadikan pelajar terdedah kepada pelbagai bentuk bahan bacaan yang tidak terjamin kandungan ilmunya,” ujar YBrs. Dr. Hazami Jahari.
Menyedari akan cabaran tersebut, Program Kembara MDK akan menyediakan bimbingan kepada pelajar dan guru untuk memilih bahan bacaan yang dapat membina keupayaan untuk berfikir, menyampaikan pandangan dengan jelas serta mengukuhkan nilai ilmu sebagai asas kepada pembelajaran yang berkesan.
Selain itu, bahan bacaan yang berkualiti turut berperanan mencetuskan minat dalam bidang penulisan dalam kalangan pelajar, sekali gus menyumbang kepada perkembangan ilmu dengan lebih meluas dalam kalangan masyarakat.
YBrs. Dr. Hazami Jahari menambah bahawa pembacaan yang baik berpotensi melahirkan penulis yang mampu menyumbang kepada perkembangan pemikiran serta menghasilkan karya yang bermanfaat kepada generasi akan datang.
“Bagi mendukung matlamat itu, pelajar digalakkan untuk membaca bahan seperti buku dan majalah terbitan DBP yang kaya dengan kandungan bersandarkan fakta dan penggunaan bahasa Melayu yang betul,” katanya.
Selain menekankan pentingnya membaca, beliau turut mengingatkan tentang peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang wajar dipelihara melalui penggunaan laras bahasa yang tepat dalam setiap bentuk komunikasi.
Beliau merujuk kedudukan bahasa Melayu dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan sebagai asas kepada perpaduan dan penyebaran ilmu dalam kalangan rakyat pelbagai kaum.
Dalam konteks pengajaran pula, YBrs. Dr. Hazami Jahari menjelaskan bahawa majalah terbitan DBP mampu membantu guru menyampaikan isi pelajaran dengan lebih sistematik, tersusun dan menarik perhatian pelajar.
Beliau menambah bahawa Program Kembara MDK turut mendukung usaha guru untuk menyesuaikan pendekatan pengajaran dan pembelajaran berdasarkan keperluan semasa pelajar.
“Hal ini dikatakan demikian kerana penggunaan bahan bacaan yang lebih dekat dengan minat dan realiti kehidupan pelajar mampu meningkatkan keberkesanan penyampaian isi pelajaran dan secara tidak langsung menggalakkan pelibatan aktif pelajar dalam bilik darjah,” hurai YBrs. Dr. Hazami lagi.
Program Kembara MDK merupakan satu daripada pengisian utama dalam Karnival MADANI Nan Abadi yang dirancang untuk menyantuni guru dan pelajar sekolah menengah serta sekolah rendah menerusi pelbagai aktiviti literasi dan bimbingan.
Antara aktiviti yang dijalankan dalam Program Kembara MDK termasuklah Bengkel MDK untuk Guru, Program MDK Dewan Siswa dan Program MDK Dewan Pelajar yang telah menghimpunkan sebanyak 195 pelajar dan 43 guru.
Sementara itu, sebagai tanda sokongan terhadap pembudayaan ilmu, majlis ini turut menyaksikan penyerahan simbolik sumbangan buku terbitan DBP kepada lima buah sekolah, iaitu SMK Badin, Sekolah Kebangsaan (SK) Pituru, SMK Bandaraya Kota Kinabalu, SK Kem Lok Kawi dan SK Pekan Tuaran.
Jelas YBrs. Dr. Hazami Jahari, usaha ini diharap dapat membantu sekolah memperluas akses pelajar terhadap bahan bacaan bermutu yang dapat menyemai minat membaca serta menyokong perkembangan ilmu dalam kalangan pelajar.

Menerusi Karnival MANA di SMK Badin, beberapa aktiviti yang mampu merangsang imaginasi dan kreativiti pelajar prasekolah turut dianjurkan seperti Pertandingan Mewarna yang melibatkan penyertaan sebanyak 80 pelajar daripada pelbagai sekolah rendah sekitar daerah Tuaran.

Program ini turut diserikan dengan persembahan istimewa oleh Kumpulan Bercerita Bayan DBP yang menceriakan hadirin melalui teknik penyampaian yang bersahaja bagi menyemai kecintaan terhadap budaya bercerita berasaskan bahan bacaan.

Turut hadir dalam Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Karnival MANA ialah Pengarah DBP Cawangan Sabah, Puan Jennitah Noordin; Ketua Editor Bahagian Majalah DBP, YBrs. Dr. Rosmani Omar; Ketua Akademi DBP, Puan Mariati Josepha Mustafa; Pegawai Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan, Puan Pawasia Baha; Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kota Kinabalu, Puan Doreen Peterlison; Pegawai Cemerlang SICC+ dan wakil Pegawai Pendidikan Daerah Tuaran, Encik Maslin Madlasim; wakil Pegawai Pendidikan Daerah Penampang Puan Hajah Rahimah Nuin; wakil Pegawai Pendidikan Daerah Kota Belud, Puan Sarimah Diun; Penolong Kanan Pentadbiran SMK Badin, Puan Nor Yusni Mohd. Yusof; dan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SMK Badin, Puan Anasari Paulus Rinsah.
Karnival MANA yang berlangsung pada 25 Jun 2025 di Tuaran dan 26 Jun 2025 di Membakut merupakan antara pengisian yang dilaksanakan oleh DBP untuk menyemarakkan Sambutan Ulang Tahun DBP Ke-69 yang akan diraikan pada 28 Jun 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).