Diterbitkan pada 24 Jun 2025, 17:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Selayang – Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) Nasional STPM 2024 yang menjadi pengukur asas kepada pencapaian calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) secara keseluruhan telah meningkat, iaitu sebanyak 2.85 berbanding dengan 2.84 pada tahun 2023, dan merupakan yang tertinggi sejak pelaksanaannya pada tahun 1982.

Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek berkata Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) Nasional Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 dan kriteria pengukuran pencapaian STPM yang lain juga telah meningkat.

Demikian menurut Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek dalam ucapannya sebelum menyampaikan anugerah kepada 20 pelajar STPM terbaik kebangsaan, seorang penerima Anugerah Pelajar Terbaik Malaysian University English Test (MUET), seorang penerima Anugerah Pelajar Terbaik Sijil Kecekapan Bahasa Melayu bagi Warganegara Asing (SKBMW), seorang penerima Anugerah Pelajar Terbaik Mata Pelajaran Sejarah dan seorang penerima Anugerah Pelajar Terbaik Mata Pelajaran Bahasa Cina di Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM 2024 di Dewan Besar, Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) pagi tadi.

Beliau turut menyampaikan anugerah kepada 14 Pusat Tingkatan Enam yang mendapat Gred Purata Pusat Tingkatan Enam (GPPTE) terbaik yang mempunyai bilangan calon sekurang-kurangnya 40 orang.

“Kriteria pengukuran yang lain, seperti peratusan calon yang mendapat PNGK 4.00, peratusan calon yang mendapat PNGK antara 2.00 hingga 4.00, peratusan calon yang mendapat 5A dan 4A, peratusan calon yang mendapat lulus penuh dalam lima dan empat mata pelajaran serta peratusan calon yang lulus penuh dalam sekurang-kurangnya satu mata pelajaran dengan gred C dan ke atas juga telah meningkat.”

Menurut beliau, sebanyak 37,333 calon STPM yang telah mendapat PNGK 2.00 ke atas berpeluang luas untuk meneruskan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi, iaitu sebahagian besarnya adalah dalam kalangan pelajar B40.  

Dalam ucapannya, YB Fadhlina turut menyentuh prakarsa-prakarsa yang terus dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPM) dalam memperkasakan pelajar Tingkatan Enam seperti Program Pendidikan Tingkatan Enam di Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Sains Malaysia dilaksanakan secara rintis. 

“Selain itu, sejak tahun 2024, KPM telah membuka peluang kepada lepasan STPM bagi Mengikuti Ijazah Sarjana Muda Perguruan di Institut Pendidikan Guru Malaysia yang sebelum ini terhad kepada pemegang Sijil Pendidikan Malaysia sahaja,” ujar beliau.

Dalam usaha KPM untuk meringankan beban menuntut ilmu pra-universiti, semua pelajar Tingkatan Enam turut menerima Bantuan Awal Persekolahan sebanyak RM150 pada awal tahun ini, sebagaimana pelajar Tahun Satu hingga Tingkatan Lima.

“Bantuan berjumlah RM7 juta pada fasa pertama dan RM7.8 juta pada fasa kedua yang bermula Ogos ini merupakan satu bentuk keprihatinan kerajaan dalam meringankan beban ibu bapa dan untuk memotivasikan pelajar,” ujar beliau.

Tambah beliau, KPM turut memperkenalkan inisiatif dermasiswa dengan rakan strategik korporat Farm Fresh untuk memberikan bantuan biasiswa RM100 sebulan kepada pelajar Tingkatan Enam golongan B40.

Pada masa yang sama, KPM juga sedang melaksanakan usaha untuk memberikan tajaan biasiswa kepada lepasan STPM yang cemerlang. “Untuk itu, sebanyak 300 pelajar terbaik akan mendapat peluang menyambung pengajian bidang pendidikan di universiti tempatan,” ujar beliau.

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) merangkap Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia, YBhg. Profesor Dato’ Dr. Md Amin Md Taff mengumumkan keputusan Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di Majlis Peperiksaan Malaysia pagi tadi.

Tambah YB Fadhlina lagi, bagi meningkatkan kualiti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) guru dengan harapan kandungan mata pelajaran dapat disampaikan dengan lebih berkesan kepada murid Tingkatan Enam, KPM dan MPM akan mengadakan insiatif pemberian kursus dan latihan secara tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada guru Tingkatan Enam. 

“CSR ini akan dilaksanakan secara berterusan supaya dapat memberikan impak secara langsung kepada guru dan seterusnya dapat menyumbang kepada peningkatan prestasi akademik dan penguasaan ilmu,” jelas beliau.

Sebagai mengiktiraf usaha gigih guru-guru di Pusat Tingkatan Enam, KPM dan MPM akan memberikan insentif dalam bentuk wang tunai kepada 14 Pusat Tingkatan Enam yang terdiri daripada Kolej Tingkatan Enam, Pusat Tingkatan Enam Mod 2 dan Pusat Tingkatan Enam Mod 3 terbaik berdasarkan pencapaian GPPTE dalam peperiksaan STPM 2024. 

“Bagi tujuan ini, KPM dan MPM telah memperuntukkan sebanyak RM80,000 untuk diberikan sebagai ganjaran mengikut kategori Pusat Tingkatan Enam.” 

Bagi menggalakkan pelajar lepasan SPM untuk memilih STPM, KPM dan MPM turut akan meneroka peluang agar pelajar yang menggunakan STPM diberikan keistimewaan pindah jam kredit apabila mereka masuk ke universiti kerana pengajian di Tingkatan Enam.

Kredit Foto: Arina Musthafa
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi