Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSepang – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terus mengorak langkah proaktif menyebarluaskan bahasa dan sastera melalui kerjasama dengan pihak Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB).
Kerjasama yang mengkhususkan inisiatif penyebaran bahasa dan sastera di lapangan terbang akan bermula di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Kedua-dua pihak menilai potensi untuk mewujudkan sudut bacaan, paparan maklumat bahasa dan sastera melalui paparan digital secara berkala serta capaian pengguna kepada portal bacaan DBP di lokasi yang strategik di KLIA.
Usaha ini diharap mampu menjadikan pusat penerbangan utama negara sebagai pusat pemugaran budaya ilmu khususnya berkaitan dengan bahasa dan sastera dalam kalangan masyarakat.
Menurut Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, Puan Roziah Md Yunus, usaha meluaskan jalinan kerjasama dengan sektor swasta, khususnya MAHB merupakan peluang yang amat baik.

“MAHB sebagai gerbang utama menerima kedatangan pelancong dari luar negara, boleh menjadi batu loncatan dalam menyebarluaskan bahasa dan sastera”
“Malah, kita dapat mempromosi produk terbitan DBP dan memperkenalkan para pengkarya tanah air kepada masyarakat luar bahawa negara tidak pernah tandus melahirkan penulis yang baik.”
Pihak MAHB yang diwakili oleh Pengurus Komunikasi Dalaman Komunikasi Korporat, Puan Siti Hajar Ahmad @ Aziz, berbesar hati dengan inisiatif yang diwujudkan dan berharap projek rintis tersebut membuka peluang yang lain.
Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Puan Wan Hasmimi Syazila Wan Ismail, Puan Tengku Nur Nabila Tengku Ahmad Dandarawi (MAHB), manakala pihak DBP ialah Mohd Hafizi Ahmad dan Encik Muhammad Ismail Mohd Dzulkarnaen.
