Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Peranan wartawan sebagai penggalas amanah yang mengendong maklumat semakin penting untuk menapis fakta daripada kepalsuan, melaporkan berita secara saksama serta menegakkan prinsip “berkata benar walau pahit”.
Lantaran itu, komitmen terhadap kebenaran dan tanggungjawab sosial menjadikan profesion kewartawanan sebagai tunjang utama dalam usaha membina masyarakat yang berinformasi.
Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat (YB) Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, wartawan kini berhadapan dengan era jurnalisme moden yang sarat dengan cabaran, terutama revolusi digital yang mengubah landskap media dengan pantas.
Jelas beliau, perubahan pesat ini menyaksikan berita bergerak sepantas detik pada hujung jari, algoritma media sosial menentukan kandungan tatapan harian dan kecerdasan buatan (AI) pula mula menerobos ruang pemberitaan.

“Dari satu sudut, tranformasi digital ini membawa peluang yang luar biasa seperti platform baharu untuk penyampaian berita, analitik data bagi memahami audiens dan AI untuk membantu kerja rutin wartawan,” ujar beliau dalam ucaptama majlis Malam Wartawanan Malaysia 2025 yang berlangsung di ibu negara, malam tadi.
Namun begitu, beliau turut menegaskan bahawa terdapat cabaran yang timbul akibat fenomena filter bubble, iaitu dunia pembaca yang terkurung dalam gelembung maklumat sehala dan hanya mendengar gema perspektif sendiri.
Menurut beliau, algoritma digital yang cenderung menyajikan kandungan yang “ingin kita lihat” berbanding dengan “perlu kita lihat” mencetuskan risiko polarisasi dan kecenderungan masyarakat untuk terikat dengan hanya satu sisi naratif.
“Apabila audiens terperangkap dalam gelembung ini, fungsi wartawan sebagai pembentang seluruh kebenaran menjadi kian mencabar.

“Kita bertanggungjawab memecahkan dinding-dinding gema ini menerusi kewartawanan yang inklusif dan berimbang, memastikan suara minoriti tidak tersisih dan fakta tidak dimanipulasi,” katanya.
Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa cabaran lain yang melibatkan persoalan etika dan integriti dalam arus digital seperti penularan berita palsu dan teori konspirasi secara meluas serta terhakisnya kepercayaan publik terhadap media.
Tambah beliau, wartawan bukan sekadar pelapor peristiwa, sebaliknya berperanan sebagai “penjaga nurani demokrasi”, iaitu pengawal hati nurani masyarakat yang sentiasa bergelora dengan pertanyaan tentang kebenaran dan keadilan.
Sebagai sebuah negara yang mengamalkan prinsip Malaysia MADANI, beliau menekankan bahawa kewartawanan beretika dan bebas perlu terus diperkasakan.
Wartawan ialah sahabat kepada kebenaran dan musuh kepada penindasan. Tugas kita bukan untuk menggembirakan pemerintah atau memburukkan mereka, tetapi menegakkan yang makruf dan mencegah yang mungkar dengan fakta serta hujah.
Mengulas lanjut, Dr. Zambry menekankan bahawa wartawan ibarat cermin kepada masyarakat yang menunjukkan wajah sebenar bangsa, sama ada berbentuk keindahan mahupun kekurangan agar ruang penambahbaikan sentiasa terbuka.
Sehubungan dengan itu, idealisme kewartawanan yang berlandaskan berani kerana benar dan tegas kerana ikhlas menjadi teras kepada demokrasi serta pembangunan bangsa.

Pada majlis yang sama, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir turut menyempurnakan pelancaran E-Jurnal Kewartawanan Institut Akhbar Malaysia (MPI) serta penyampaian Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI–Petronas 2024 bagi tiga kategori berprestij, iaitu Anugerah Khas, Tokoh Wartawan Negara dan Hadiah Kajai.

Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI–Petronas 2024 telah menerima sebanyak 550 penyertaan daripada pelbagai agensi media cetak dan media massa, dengan melibatkan 23 kategori yang dipertandingkan.

Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Presiden MPI, YBhg. Datuk Yong Soo Heong; Ketua Pegawai Eksekutif MPI, YBrs. Tuan Haji Ainol Amriz Ismail; Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Dagangan Berhad, YBrs. Encik Azrul Osman Rani; Naib Presiden Perhubungan dan Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas, YBrs. Ir. Norafizal Mad Saad, serta para pengamal media dari seluruh negara.