Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Dunia kewartawanan dan akademik dijalin erat dengan pelancaran sulung Jurnal E-Kewartawanan MPI, iaitu inisiatif terbaharu oleh Institut Akhbar Malaysia (MPI) yang dilancarkan bersempena dengan Malam Wartawan Malaysia 2025 dan Hadiah Kewartawanan Malaysia 2024 MPI-Petronas di Hotel Majestic malam tadi.
Pelancaran jurnal ini disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat (YB) Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, yang menyifatkannya sebagai satu usaha murni bagi memperkasakan penulisan akademik dalam kalangan wartawan serta menggalakkan penyelidikan dalam bidang kewartawanan, media dan komunikasi.
“Langkah ini tepat pada masanya kerana pendidikan tinggi mempunyai peranan strategik dalam memartabatkan kewartawanan beretika,” ujar beliau dalam sesi ucap utama majlis.
Beliau menegaskan bahawa institusi pengajian tinggi perlu melahirkan graduan kewartawanan yang bukan sahaja mahir menulis berita, tetapi juga perlu bersifat kritis, beretika dan memahami falsafah di sebalik profesion kewartawanan.

Beliau turut mencadangkan agar kerjasama antara universiti dan organisasi media diperkukuh melalui penyelidikan bersama, program latihan industri serta kolokium yang berkaitan dengan etika kewartawanan.
“Kementerian akan memastikan kurikulum komunikasi dan kewartawanan sentiasa relevan, merangkumi elemen kecerdasan buatan (AI), analitik data, undang-undang siber dan etika profesion,” katanya lagi.
“Kita mahu melahirkan wartawan berilmu dan berintegriti, kerana hanya dengan itulah kewartawanan dapat terus menjadi profesion mulia yang dipercayai rakyat.”
Beliau turut menyentuh tentang pentingnya etika dalam dunia media dan menyokong inisiatif seperti Kempen Tandatangan Sokongan Integriti Media, sebagai usaha menjunjung tinggi integriti dan kebebasan media yang bertanggungjawab.
“Tanpa etika, kemerdekaan media boleh bertukar menjadi anarki maklumat. Oleh itu, marilah kita berdiri teguh atas paksi kebenaran.”
MPI terus memainkan peranan penting dalam memartabatkan profesion kewartawanan menerusi penganjuran Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM), latihan profesional, forum wacana serta penerbitan ilmiah seperti jurnal yang baru dilancarkan ini.
Turut hadir dalam majlis ialah Presiden MPI, YBhg. Datuk Yong Soo Heong, Ketua Pegawai Eksekutif MPI, YBrs. Tuan Haji Ainol Amriz Ismail, Naib Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Dagangan Berhad, YBrs. Encik Azrul Osman Rani, serta Ahli Suruhanjaya di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), YBrs. Profesor Dr. Mohamad Salmi Mohd Sohod.
Pelancaran jurnal ini dijangka menjadi medan rujukan penting bagi wartawan, penyelidik serta pelajar dalam memartabatkan etika kewartawanan sebagai wadah ilmu.