Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBeijing – Pesta Buku Antarabangsa Beijing (BIBF) 2025 dengan tema “read lead” yang berlangsung pada 18–22 Jun 2025 di Pusat Konvensyen Kebangsaan China (CNCC) telah memilih Malaysia sebagai negara tamu. Pemilihan ini merupakan suatu penghargaan besar kepada Malaysia yang merupakan negara ASEAN pertama terpilih sebagai negara tamu di BIBF.
Perasmian BIBF dan pemasyhuran Malaysia sebagai negara tamu di BIBF telah diadakan di Diaoyutai State Guest House dalam Majlis Perasmian BIBF yang dihadiri oleh Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia, YB Wong Kah Woh, tetamu dari luar negara, serta delegasi Malaysia.

Sebanyak 22 penerbit di Malaysia telah menyertai BIBF 2025, sekali gus memeriahkan pesta buku antarabangsa pada kali ini. Antara penerbit dari Malaysia yang menyertai BIBF termasuklah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan dan Buku Negara (ITBM), Yayasan Karyawan (YK), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Perbadanan Kota Buku (PKB) dan lain-lain.
Pavilion Malaysia yang ditempatkan di aras satu telah berjaya menarik ramai pengunjung yang terdiri dalam kalangan pedagang hak cipta untuk bertukar-tukar pandangan dan jual beli hak cipta buku.
DBP yang turut serta sebagai pempamer bersama-sama 2600 pempamer dari seluruh dunia, turut mengadakan perbincangan jual beli hak cipta dengan penerbit-penerbit di BIBF tersebut.

DBP turut mempamerkan buku-buku yang terpilih dalam 50 Judul Terbaik Malaysia bagi Dagangan Hak Cipta Antarabangsa 2023-2025. Sebanyak enam judul buku DBP yang terpilih, iaitu Jangan Bersedih Bunga Lawang (kategori buku kanak-kanak), 7 Fundamental Technique for Playing Sape (kategori malaysiana), 16 Spesies mamalia di Malaysia (kategori malaysiana), Lada Hitam Permata Sarawak (kategori malaysiana), Narratives of Malaysian Indigenous People: A Historical Linguistic Study of Their Migration and Settling Down (kategori bukan fiksyen) serta dan Feudalisme: Sejarah dan Pensejarahan (kategori bukan fiksyen). Selain itu, sebanyak 30 judul telah dibawa untuk perbincangan jual beli hak cipta.
Bersempena dengan Malaysia sebagai negara tamu di BIBF, delegasi Malaysia yang dikelolakan oleh Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dan Perbadanan Kota Buku (PKB) telah menampilkan kumpulan penari kebudayaan dari JKKN dalam sebuah persembahan istimewa. Kumpulan penari telah mempersembahkan pelbagai tarian tradisi yang menonjolkan pelbagai bangsa, budaya dan etnik yang terdapat di Malaysia semasa pembukaan dan penutupan BIBF pada setiap hari.

BIBF disifatkan sebagai pesta buku yang tidak asing lagi dalam kalangan pedagang hak cipta dengan penerbit dari seluruh dunia dan merupakan medan pertemuan kedua terbesar perdagangan hak cipta selepas Pesta Buku Frankfurt. BIBF merupakan acara tahunan yang diadakan setiap bulan Jun pada setiap tahun.
BIBF yang dianjurkan oleh China National Publications Import and Export (Group) Co., Ltd. sejak tahun 1986 telah berkembang menjadi pesta buku yang terbesar di dunia, serta menjadi platform pameran buku yang paling berpengaruh di China dan terbesar di Asia.
BIBF berjaya menarik lebih 2600 pempamer daripada 100 buah negara dan wilayah setiap tahun. Malah, BIBF telah menjadi medan pertukaran penerbitan berskala besar pada peringkat antarabangsa merangkumi buku fizikal, digital, animasi dan lain-lain.