Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Menteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Fadhlina Sidek menyelar sekeras-kerasnya tindakan pihak yang cuba mempolitikkan isu pergaduhan yang melibatkan dua orang murid di sebuah sekolah di Terengganu baru–baru ini.
“Fitnah yang mengaitkan ibu kepada seorang murid terlibat dengan saya adalah tidak bertanggungjawab dan berniat jahat. Saya juga tidak pernah mengenali individu tersebut,” jelas beliau dalam suatu kenyataan KPM semalam.
Beliau berkata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengambil tindakan sewajar melalui Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) berdasarkan Prosedur Standard Operasi (SOP) yang berkaitan dengan kes buli dan salah laku yang sedang berkuat kuasa.
Sebagai tindakan susulan, beliau turut mengarahkan Unit Integriti Kementerian untuk melakukan siasatan selanjut.
“Saya sentiasa mengikuti rapat perkembangan isu ini dan mahu diselesaikan dengan kadar segera,” tambah beliau.
Pada masa yang sama, beliau juga menegaskan pihak KPM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terhadap sebarang bentuk buli atau salah laku yang lain.
“Tindakan tegas mesti diambil ke atas sesiapa sahaja yang bersalah. Semua institusi pendidikan mesti berada dalam keadaan selamat demi kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga sekolah,” tegas beliau.