Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Sebanyak 150,557 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang merangkumi 67.33 peratus daripada keseluruhan calon yang menduduki peperiksaan tersebut telah ditawarkan tempat untuk melanjutkan pengajian di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) menerusi Sistem Permohonan Kemasukan Pelajar atau UPUOnline.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan bahawa mereka telah menerima sebanyak 223,624 permohonan oleh pelajar lepasan SPM yang layak untuk melanjutkan pengajian melalui UPUOnline pada tahun ini. Permohonan tersebut meliputi penempatan di Universiti Awam (UA), Politeknik, Kolej Komuniti (KK) dan MARA Bahagian Pendidikan Tinggi (MARA BPT).
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 86,589 pelajar lepasan SPM 2024 ditawarkan tempat di UA manakala 42,058 pelajar ditawarkan tempat di Politeknik. Sementara itu, sebanyak 20,427 pelajar mendapat tempat di Kolej Komuniti dan 1,483 pelajar lagi mendapat tawaran menyambung pengajian di MARA BPT. Bagi Tawaran Laluan Khas pula, sebanyak 17,683 tawaran telah dikeluarkan dengan pecahan sebanyak 16,189 tawaran diperuntukkan kepada pelajar kategori B40, 590 tawaran diberikan kepada pelajar dalam kalangan Orang Kurang Upaya (OKU), 593 tawaran untuk pelajar berstatus atlet dan 321 tawaran untuk pelajar daripada kumpulan etnik Orang Asli. Selain itu, sebanyak 43 pelajar lepasan institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga telah mendapat tawaran menyambung pengajian,” ujar KPT.
Secara keseluruhannya, KPT menjelaskan sebanyak 343 program pengajian telah ditawarkan pada sesi kali ini dengan pecahan 41 tawaran peringkat Sijil, 55 tawaran peringkat Asasi, 252 tawaran peringkat Diploma dan satu tawaran peringkat Ijazah Sarjana Muda.
Oleh hal yang demikian, kemasukan pelajar ke institusi-institusi tersebut dibuat berasaskan prinsip meritokrasi dengan penyusunan semua calon yang layak mengikut markah merit tertinggi hingga terendah, jelas KPT.
Namun begitu, KPT telah membuka peluang kedua kepada pelajar lepasan SPM 2024 yang gagal mendapat tawaran menyambung pengajian untuk membuat permohonan rayuan melalui UPUOnline dalam tempoh 10 hari bermula pada 16 Jun 2025, pukul 12.00 tengah hari ini sehingga 25 Jun 2025, pukul 5.00 petang.
Pihak KPT juga mengucapkan selamat maju jaya kepada semua pelajar lepasan SPM 2024 yang berjaya mendapatkan tempat di IPTA dan berharap agar peluang menyambung pengajian di peringkat pendidikan tinggi ini akan digunakan sebaik-baiknya.