Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Bagi menghargai sumbangan dan jasa pengamal media tempatan, kerajaan mengumumkan pemberian diskaun sebanyak 50 peratus tambang penerbangan pergi dan balik Air Asia secara sekali beri (one off) yang melibatkan 57 destinasi negara ASEAN.
Perkara itu diumumkan oleh Menteri Komunikasi, Yang Berhormat (YB) Datuk Fahmi Fadzil ketika berucap dalam perhimpunan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Bagi pihak Kementerian Komunikasi selaku penganjur dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) sebagai agensi pelaksana HAWANA 2025, YB Datuk Fahmi Fadzil merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim kerana meluangkan masa bagi merasmikan Majlis Kemuncak HAWANA 2025, pada hari ini.
Selaras dengan tema HAWANA pada tahun ini, iaitu “Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika”, beliau berharap agar pengamal media dapat menyesuaikan diri dengan kemajuan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam dunia kewartawanan, tanpa mengabaikan prinsip etika yang melibatkan ketepatan maklumat dan tanggungjawab sosial.
Menurut YB Datuk Fahmi Fadzil, sebanyak 12,428 pengamal media berdaftar dengan Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) dan memiliki Kad Perakuan Media. Daripada jumlah ini, sebanyak 12,297 merupakan warganegara yang berkhidmat dalam pelbagai platform seperti media cetak, penyiaran, digital serta portal berita dalam talian.

“Sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, pengumuman ini khusus untuk semua pemegang Kad Perakuan Media warganegara Malaysia. Inisiatif ini merupakan hasil kerjasama strategik Kementerian Komunikasi dan AirAsia,” ujar beliau.
Beliau berkata, inisiatif ini ialah hasil kerjasama strategik bersama-sama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Air Asia, YBhg. Tan Sri Tony Fernandes, sebagai tanda penghargaan terhadap peranan besar wartawan dalam membentuk masyarakat yang bermaklumat dan berintegriti.
“Tempoh tempahan dibuka sehingga Disember 2025 bagi penerbangan yang ditempah mulai April hingga September 2026. Butiran dan mekanisme tempahan tiket akan diumumkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) dalam masa terdekat,” ujar beliau.
Pada masa yang sama, YB Datuk Fahmi Fadzil turut mengumumkan Lembaga Pengasas (Founding Board) Majlis Media Malaysia yang telah dimuktamadkan. Majlis ini dianggotai oleh 12 orang yang terdiri daripada empat wakil bagi setiap kategori, iaitu kategori syarikat media, kategori persatuan media, pengamal media dan pengamal media bebas, serta kategori ahli bukan media.
Turut hadir dalam majlis HAWANA pada hari ini termasuklah Menteri Wilayah Persekutuan, YB Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa dan Timbalan Menteri Komunikasi YB Puan Teo Nie Ching.
Hadir sama ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, YBhg. Datuk Mohamad Fauzi Md Isa; Pengerusi BERNAMA, YBhg. Datuk Seri Wong Chun Wai; Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA, YBhg. Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin; Ketua Pengarang BERNAMA, Encik Arul Rajoo Durar Raj merangkap Pengarah Projek HAWANA 2025, Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, YBhg. Dato Dr. Jeniri Amir; Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari serta barisan pengurusan tertinggi pertubuhan media di negara ini.
Sambutan HAWANA 2025 dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan BERNAMA selaku agensi pelaksana disambut dengan tujuan untuk mengiktiraf peranan dan sumbangan pengamal media dalam pembangunan negara.
Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional bersempena dengan penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939, bagi meraikan sumbangan penggiat industri media yang menjadi medium untuk membentuk minda masyarakat yang bermaklumat.