Diterbitkan pada 13 Jun 2025, 08:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bangi – Perpustakaan Tun Seri Lanang (PTSL) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) meraikan Sambutan Ulang Tahun Jubli Zamrud yang ke-55 untuk tahun ini selari dengan usia penubuhan UKM, iaitu pada 18 Mei 1970.

Sejak itu, PTSL berkembang seiring dengan UKM sebagai pusat ilmu dan pemelihara khazanah intelektual negara. Kedua-dua institusi ini telah berjalan seiring, membina kecemerlangan akademik dan penyelidikan negara.

Bagi meraikan ulang tahun tersebut, pihak PTSL telah menganjurkan Program Sembang Santai: Menghayati Karya Abdul Ghafar Ibrahim yang bertujuan untuk mengenang serta menghayati karya dan pemikiran tokoh sastera tersohor yang lebih dikenali sebagai Pak AGI.

Sehubungan dengan itu, pameran hasil karya Pak AGI turut dipamerkan bersempena dengan Sambutan Hari Arkib Antarabangsa Peringkat UKM dan Sambutan Hari Pustakawan 2025, yang secara tidak langsung memperkenalkan koleksi sumbangan peribadi Pak AGI yang terdapat di Perpustakaan Tun Seri Lanang, UKM.

Ketua PTSL UKM, YBrs. Encik Hazmir Hj Zainal menyerahkan cenderamata kepada Pak AGI.

Koleksi sumbangan Pak AGI telah berada di PTSL selama hampir sedekad dan hampir mencecah sebanyak 2000 judul buku serta bahan-bahan lain.

Tema pameran, “Keindahan adalah untuk dihayati, bukan untuk difahami,” diangkat daripada falsafah seni Pak AGI sendiri. Pameran ini mempersembahkan susuk istimewa dalam dunia kesusasteraan dan seni Malaysia.

Pak AGI mempunyai pandangan yang mendalam tentang karya seni, namun  tidak semua seni perlu dianalisis hingga terbelah maknanya.

Pada masa yang sama, program ini menampilkan dua orang penceramah jemputan, iaitu Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) YBrs. Ts. Dr. Mohd Saipuddin Suliman serta Penyajak dan Penyelenggaran Buku “Bulan Pecah di Tengah Hari” Encik Muhammad Danial Malik atau lebih mesra dikenali sebagai Jack Malik, manakala moderatornya pula ialah Encik Mohd Syamil Abdul Halim.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah seorang penyajak dan pelukis YBrs. Pak AGI, Ketua PTSL UKM YBrs. Encik Hazmir Hj Zainal dan Timbalan Ketua Pustakawan YBrs. Shamsuddin Ibrahim.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi