Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTanjung Malim – Seminar Teknikal Antarabangsa dan Kursus Kejurulatihan Kebangsaan MYITFU 2025 yang menghimpunkan hampir 100 peserta dari seluruh negara diadakan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah dirasmikan semalam.
Malaysia dilihat berpotensi besar untuk muncul sebagai pusat latihan serantau bagi International Taekwon-do Federation Union (ITFU) Asia, sekali gus mengukuhkan kedudukannya dalam arena sukan tempur antarabangsa.
Acara tiga hari bermula sejak 30 Mei itu bertujuan meningkatkan kefahaman peserta mengenai peraturan terkini ITFU serta memperkenalkan aplikasi sains sukan dalam latihan tae kwan do.

Penasihat ITFU Asia, YBhg. Datuk Tuan Asmawi Al-Aydrus berkata, selain berjaya menjadi tuan rumah pelbagai program berprestij, Malaysia juga merupakan rakan strategik penting dalam pembangunan tae kwan do pada peringkat global.
“Platform seperti seminar ini bukan sahaja dapat menghimpunkan pakar dan jurulatih dari pelbagai peringkat, tetapi juga dapat menyelaraskan teknik dan piawaian latihan mengikut standard antarabangsa,” ujar beliau semasa majlis perasmian Kelas Pakar ITFU, Seminar Teknikal Antarabangsa dan Kursus Kejurulatihan Kebangsaan MYITFU 2025 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Menurut Datuk Tuan Asmawi, seminar itu juga menjadi persediaan penting menjelang Kejohanan Dunia di Argentina dan Kejohanan Asia 2026 yang akan dianjurkan di Malaysia.
“Dalam era sukan yang kompetitif, kita perlu bergerak sebagai satu pasukan yang bersatu, selaras dengan piawaian global berteraskan nilai Asia dan semangat tae kwan do yang murni,” tambah beliau.
Turut hadir dalam majlis perasmian ialah Presiden ITFU Asia, Master Juanito J. Arsol; Timbalan Dekan Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan UPSI, YBrs. Prof. Madya Dr. Ali Md Nadzalan serta Pensyarah Kanan dari fakulti sama, YBrs. Dr. Mohd Azrul Anuar.