Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Menteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Fadhlina Sidek telah merasmikan pelancaran buku kanak-kanak bertajuk Angin, The Wind dan Kapten Aman terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang menerapkan unsur biblioterapi untuk membantu mengatasi cabaran emosi kanak-kanak sebagai terapi diri.
Penerbitan buku ini juga merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh budaya membaca dan literasi awal dalam kalangan kanak-kanak.
Buku Angin, The Wind dan Kapten Aman itu dilancarkan bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 bertempat di reruai DBP, Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), petang semalam.
Sebelum majlis pelancaran, program dimulakan dengan sesi bual bicara Buku Angin, The Wind dan Kapten Aman yang menampilkan dua orang ahli panel, iaitu YBrs. Dr. Hussaini Husin, Pensyarah Pengajian Bahasa Malaysia, Universiti Sains Malaysia dan Puan Sharifah Sarah selaku pembicara bebas yang membicarakan tentang sinopsis buku Kapten Aman dan Angin. Sesi bual bicara tersebut dikendalikan oleh Puan Amira Abdul Taib, dari Bahagian Pengembangan Sastera Kanak-kanak dan Remaja DBP sebagai moderator.

Buku Angin menceritakan kisah pengembaraan angin yang kadangkala lembut, kuat, ganas dan liar yang membawanya ke banyak tempat di dunia sehingga bertemu dengan kawan baharu daripada pelbagai jenis haiwan termasuklah penguin di Kutub Selatan, beruang kutub di Kutub Utara serta harimau bintang di Afrika.
Manakala, Buku Kapten Aman pula mengisahkan watak Aman, yang mengalami penyakit kebimbangan (anxiety disorder) disebabkan oleh ayahnya, Dr. Haidar Yusuf yang merupakan ketua misi keamanan di Syria ditugaskan untuk membina sebuah hospital di sana.
Bersesuaian dengan penerapan unsur biblioterapi, kandungan buku Angin dan The Wind menerangkan perlunya ketahanan diri untuk membina keyakinan diri dalam kalangan kanak-kanak. Hal ini secara tidak langsung dapat membantu kanak-kanak mengharungi cabaran dan membina kekuatan dalaman dan memfokuskan usaha bagi mengatasi kesukaran hidup dan kekal kuat menghadapi dugaan.
Buku Kapten Aman pula berkaitan dengan kebimbangan menghadapi sesuatu perpisahan. Cerita dalam buku ini menawarkan sokongan kepada kanak-kanak dalam menghadapi perasaan cemas semasa berpisah dengan orang tersayang.
Buku-buku ini boleh digunakan oleh kaunselor, ibu bapa dan pendidik untuk membantu menangani masalah kanak-kanak yang terkesan. Selain itu, buku ini juga memaparkan ilustrasi yang menarik dan menggunakan fon yang sesuai untuk kanak-kanak disleksia serta memudahkan pembacaan dalam kalangan kanak-kanak.

Dalam majlis pelancaran buku tersebut, Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek turut berkesempatan menyampaikan sumbangan buku yang dilancarkan dan buku terbitan terbitan DBP yang lain kepada tujuh buah sekolah termasuklah Sekolah Dalam Hospital Selayang, Sekolah Dalam Hospital Pusat Perubatan Universiti Malaya (UM), Sekolah Menengah Seri Ampang di bawah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), Sekolah Kebangsaan Dengkil, Sekolah kebangsan Taman Desa, Sekolah Menengah Kebangsaan Cochrane Perkasa dan Persatuan Kebajikan Anak-anak Yatim Damai Kuang.
Yang turut hadir dalam majlis ini termasuklah Pengerusi Lembaga Pengelola, Sasterawan Negara (SN), YBhg. Dato’ Dr. Mohd Anuar Haji Rethwan; Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, YBrs. Dato’ Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hashim; Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Pembangunan Profesionalisme), YBrs. Dr. Mohd Azam Ahmad; Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), YBrs. Encik Zainal Abas; Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa, Ketua Editor Bahagian Majalah yang menjalankan tugas Pengarah Penerbitan DBP, YBrs. Dr. Rosmani Omar; Ketua Editor Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja DBP, Puan Hajah Noriyani Yusoff; ketua-ketua editor dan ketua-ketua bahagian DBP serta para pengunjung PBAKL 2025.