Arina Zata Sabila binti Musthafa Abrar .
Diterbitkan pada 2 Jun 2025, 11:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Minat rakyat Malaysia terhadap buku dan karya sastera ternyata masih mekar apabila Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 melabuhkan tirainya dengan sambutan luar biasa di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), petang semalam.

Dengan tema “Buku: Membaca, Memimpin”, PBAKL 2025 melakar sejarah sebagai edisi paling berjaya sepanjang penganjurannya.

Pengerusi Pengelola PBAKL, YBrs. Encik Mohd Khair Ngadiron dalam ucapan penutupannya berkata, kejayaan ini jelas terbukti menerusi sambutan hangat pengunjung dan penyertaan pempamer dari dalam dan luar negara.

“Tahun ini kita berjaya memanfaatkan lebih banyak ruang pameran sehingga Aras 5, berbanding dengan kebiasaan hanya tiga aras, iaitu Aras 2, 3 dan 4. Sambutan pengunjung sangat luar biasa dan ini menjadi bukti yang jelas bahawa rakyat Malaysia masih cintakan buku dan budaya membaca,” ujarnya.

Tambah beliau, teknologi pengesan infra merah dipasang di pintu masuk bagi merekod jumlah pengunjung, namun soal selidik di gerai-gerai akan dijalankan bagi mengenal pasti demografi pengunjung secara lebih tepat dan seterusnya menyediakan kandungan dan bahan bacaan yang lebih bersesuaian pada masa akan datang.

Menurut beliau lagi, pesta buku tidak akan berjaya tanpa sokongan dan kehadiran para pempamer yang menjadi nadi utama sepanjang 10 hari penganjuran.

PBAKL 2025 turut menyaksikan pelbagai pengisian termasuk Pesta Dagangan Hak Cipta Asia 2025 dan aktiviti anjuran Persatuan Penerbit Buku ASEAN (ABPA), menjadikan acara ini bukan sekadar destinasi membeli buku, tetapi juga medan intelektual dan jaringan industri.

Majlis penutupan dimeriahkan dengan sorotan montaj sepanjang 10 hari penganjuran yang meraikan penulis, pengunjung, penerbit dan penjual buku. Hal ini disusuli persembahan nyanyian oleh 45 orang duta buku terpilih daripada ratusan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara.

Turut berlangsung ialah penyampaian Anugerah Reruai Terbaik yang terbahagi kepada beberapa kategori.

Bagi kategori agensi kerajaan, anugerah utama diberikan kepada Persatuan Pahang, diikuti Pavilion Selangor dan Pavilion Al-Falah.

Untuk kategori reruai biasa, Malaysian Club Boox dan e-Readers menduduki tempat pertama, diikuti Grollier di tempat kedua dan SIDR Production di tempat ketiga.

Bagi kategori reruai sederhana, Stesen Buku diumumkan sebagai pemenang utama, diikuti oleh Bekazon dan Seeni masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Dalam kategori reruai mega pula, tempat pertama dirangkul oleh Iman, diikuti oleh Galeri Ilmu di tempat kedua dan Buku Karangkraf di tempat ketiga.

Galeri Ilmu turut menerima pengiktirafan khas sebagai Reruai Paling Kreatif manakala Iman diumumkan sebagai reruai paling mesra pengunjung.

Majlis turut dihadiri oleh Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku (PKB), YBrs. Puan Adibah Omar; Presiden Dewan Industri Buku Malaysia (MBIC), YBrs. Encik Keith Thong; Presiden Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA), YBrs. Encik Sheikh Faisal Sheikh Mansor; serta Presiden Persatuan Industri Buku Bumiputera Malaysia (PIBM), YBhg. Datuk Mohamad Fazly Zainudin.

“PBAKL mungkin telah berakhir, namun semangat membaca tidak harus terhenti di sini. Jadikan buku sebagai teman sepanjang hayat,” pesan Mohd Khair, mengakhiri ucapan.

PBAKL 2025 berlangsung dari 23 Mei hingga 1 Jun 2025, menghimpunkan ratusan penerbit dan penjual buku tempatan serta antarabangsa, sekali gus terus mengangkat martabat ilmu dan budaya membaca di tanah air.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi