Diterbitkan pada 30 Mei 2025, 11:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Amalan feudalisme yang positif telah dijelmakan dalam konteks propaganda politik sebagai amalan atau institusi yang amat buruk dan penuh dengna unsur negatif ”.

Demikian menurut penulis buku bertajuk Feudalisme Sejarah dan Persejarahan, iaitu YBrs. Profesor Madya Dr. Azmi Arifin di reruai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dewan Tun Hussein Onn (DTHO) ketika berlangsungnya program Bicara Karya bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025, semalam.

Aspek utama yang diketengahkan ialah amalan feudalisme yang sering dilihat sebagai satu teori atau pengalaman sejarah yang menjadi hangat dalam kalangan masyarakat pada hari ini.

YBrs. Profesor Madya Dr. Azmi Arifin menghuraikan tentang konsep feudalisme, perkembangan sejarah dan persejarahannya serta pengaruh perdebatan wacana feudalisme dalam pelbagai bentuk ideologi dan pemikiran.

Beliau yang juga Pensyarah Kanan di Bahagian Sejarah, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut memperbetul keadaan sebenar yang telah dikelirukan oleh sesetengah penulis dan ahli politik tertentu dalam mengkritik serta mewujudkan imej buruk terhadap institusi dan amalan lampau yang tidak sesuai dengan pemikiran dan ideologi politik mereka.

Audien kusyuk mendengar Bicara Karya Feudalisme Sejarah dan Persejarahan yang disampaikan oleh penulis.

Oleh hal yang demikian katanya, fokus penulisan beliau adalah untuk menerangkan maksud sebenar konsep feudalisme yang sering dikelirukan dan menjadi sumber perdebatan dan pemikiran yang terus mempengaruhi perbincangan mengenainya.

Buku Feudalisme Sejarah dan Persejarahan menghimpunkan beberapa bab yang menyentuh konsep feudalisme, perkembangan sejarah dan persejarahannya dalam skop yang lebih luas.

Usaha untuk menjelaskan semula kekeliruan jelas beliau perlu dilakukan dengan melihat model sejarah dan perbahasan tentang perkembangan feudalisme di beberapa buah negara luar, seperti di Eropah Barat dan Jepun yang menyaksikan amalan feudalisme pernah wujud dan diamalkan.

“Pandangan yang dikemukakan dalam buku ini disokong oleh hujah dan bukti rujukan kukuh yang membolehkan konsep dan amalan feudalisme difahami dengan lebih mendalam dan menyeluruh,” katanya.

YBrs. Profesor Madya Dr. Azmi Arifin menerima cenderamata penghargaan daripada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka.

Jelas beliau, buku ini amat sesuai untuk dijadikan sebagai bahan bacaan dan rujukan kepada pelajar, pendidik, ahli sejarah, ahli politik atau sesiapa sahaja yang berminat untuk mendalami konsep dan sejarah perkembangan feudalisme yang jarang-jarang dikaji di Malaysia sehingga menimbulkan salah faham tertentu dalam kalangan masyarakat.

Sementara itu, dalam bicara karya tersebut, Ketua Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik, Encik Abdul Ghani Abu bertindak selaku moderator dengan menghalakan pelbagai aspek tertentu untuk dikupas oleh YBrs. Profesor Madya Dr. Azmi Arifin .

Yang turut hadir dalam acara ini ialah Ketua Editor Bahagian Buku Umum, Yang Mulia (YM) Tengku Fauziah Ku Mat; Ketua Bahagian Pengeluaran dan Penyelarasan Penerbitan, Puan Sylee Riza Arif dan Ketua Unit Sains Kemanusiaan Bahagian Buku Umum, Puan Ritah Yahaya serta Ketua-ketua Editor dan Ketua-ketua Bahagian serta para pengunjung PBAKL yang hadir ke reruai DBP.

Kredit Foto: Khairul Azhar
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi