Diterbitkan pada 24 Mei 2025, 11:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuching: Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg menyeru dan menggalakkan agar para penulis dan penyelidik menghasilkan bahan penerbitan yang berelemenkan Sarawak, khususnya dari segi sejarah, bahasa dan budaya.

Menerusi ucapannya, beliau menyeru agar dilaksanakan penyelidikan dan dokumentasi penerbitan, khususnya hal yang menyentuh sejarah Sarawak, iaitu perkaitan antara Bukit Sadok dengan Rentap serta dakwaan hubungan Rentap dengan pelanunan dapat dikaji dan dibukukan.

“Kita perlu meneliti sama ada benar-benar wujud perkaitan antara Rentap dengan pelanunan dan perkara ini perlu ditulis dari perspektif kita sendiri.”

Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, Encik Abang Haliman Haji Abang Julai ketika berucap mewakili Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami Jahari.

Cadangan beliau yang lain ialah penerbitan tentang Merpati Jepang, Datu Patinggi Ali sebagai “Seed of Power” di Sarawak pada suatu ketika dahulu.

Menurutnya, peluasan pemerintahan Kerajaan Sarawak pada ketika itu sehingga ke Lidah Tanah dan Siniawan. Ujar beliau, “Banyak sejarah sebelum dan semasa pemerintahan Brooke yang berkisar di sana belum diteroka dan harus dibukukan.”

Menyedari akan kepentingan sejarah dua kawasan tersebut, Kerajaan Sarawak akan membina dua laluan berkembar empat lorong yang akan merentasi Siniawan bagi membuka laluan pelancongan yang akan menarik pelancong untuk mengunjungi tapak bersejarah tersebut.

“Brooke, dikatakan mempunyai sebuah banglo di Siniawan, selain tapak penternakan kuda. Hal ini menunjukkan bahawa terdapat perkaitan dengan penduduk Melayu di sana. Di sanalah juga, kita boleh menyaksikan bahawa wujud perpaduan yang begitu baik dan erat antara orang Melayu dengan masyarakat Bidayuh.”

Beliau berucap demikian dalam Majlis Anugerah Buku Terbaik Premier Sarawak anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak semalam.

Majlis penyampaian anugerah yang julung-julung kali diadakan tersebut bertujuan untuk memberikan pengiktirafan dan penghargaan kepada penulis yang berjaya menghasilkan buku yang berkualiti dalam bahasa Melayu sebagai suatu nilai tambah dalam dokumentasi penerbitan bahan citra kearifan dan kebitaraan tempatan Sarawak.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka yang diwakili oleh Encik Abang Haliman Haji Abang Julai berkata, usaha penerbitan dan pengiktirafan karya bermutu dalam bahasa Melayu ini seiring dengan Dekad Membaca Kebangsaan yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menjadikan Malaysia sebagai negara membaca menjelang tahun 2030.

Para penulis 13 buah penerbitan khas bergambar kenang-kenangan bersama-sama dengan YAB Premier Sarawak dan tetamu kenamaan yang lain.

Anugerah tersebut terbahagi kepada dua kategori, iaitu Anugerah Buku Terbaik Terbitan DBP dan Anugerah Buku Terbaik Terbitan Luar.

Bagi kategori terbitan DBP, buku berjudul Empurau: Ikan Eksotik Sarawak oleh Emilyn Badut, Mohd Saiful Fadhli Maidin dan Siti Hawa Mohamad Ali telah berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM8,000 beserta watikah pengiktirafan dan buku iringan terbitan DBP.

Manakala untuk kategori terbitan luar, buku berjudul Negeri Santubong: Sejarah Awal Sarawak 300 ESS-1647 ES oleh Datu Dr. Haji Sanib Haji Said telah berjaya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM5,000 beserta dengan watikah pengiktirafan dan buku iringan terbitan DBP.

Sementara itu, dalam majlis yang sama, sebanyak 13 buah buku penerbitan khas, terbitan DBP Cawangan Sarawak menerusi dana sumbangan oleh Kerajaan Sarawak telah dipamerkan kepada khalayak. Penerbitan khas telah dimulakan sejak tahun 2021 menerusi peruntukan secara berterusan daripada Kerajaan Negeri Sarawak.

Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak, YBhg. Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, YBhg. Datuk Dr. Annuar Rapaee; Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), YBhg. Datuk Dr. Juanda Jaya; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro merangkap Ahli Lembaga Pengelola DBP, YB Safiee Ahmad; Ahli Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Dato Dr. Jeniri Amir, ketua jabatan serta tetamu kenamaan yang lain.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi