Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangJurufoto: Norfazrie Isquandy Nurol
Kuching – “Dengan adanya bahan penulisan yang baik untuk dibukukan serta untuk menggalakkan penulisan penerbitan bahan bacaan berkualiti yang berlandaskan fakta, saya bersetuju untuk menaikkan kadar hadiah wang tunai untuk anugerah ini, iaitu daripada berjumlah RM8,000 kepada RM15,000 dan kadar sebanyak RM5,000 pula dinaikkan kepada RM10,000.”
Demikianlah pengumuman oleh Premier Sarawak, Yang Amat Berhormat (YAB), Tan Sri Datuk Patinggi (Dr) Haji Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Haji Abang Openg dalam ucapannya semasa Majlis Penyampaian Anugerah Buku Terbaik Premier Sarawak yang diadakan di Royal Ballroom, Hotel The Waterfront Kuching, semalam.
Tambah beliau, Kerajaan Sarawak akan terus menjadi gandingan kepada DBP Cawangan Sarawak dan akan terus membantu dari sudut dana untuk mengelola anugerah ini demi menggalakkan penulisan yang berkualiti dan berfakta untuk generasi akan datang.
Dalam ucapannya, beliau turut menyebut bahawa langkah pembangunan seni, budaya dan bahasa di Sarawak, khasnya dari sudut penerbitan, merupakan antara aspek yang terus diberikan keutamaan oleh Kerajaan Sarawak.
“Bahan bacaan yang baik akan menajamkan perspektif dalam pembinaan kritikan terhadap pembangunan semasa. Oleh itu, penerbitan buku yang baik sewajarnya perlu mempunyai ciri-ciri ilmu dan penggunaan bahasa yang baik,” ujar beliau.
Beliau turut menekankan bahawa, buku berfungsi sebagai pintu masuk utama kepada ilmu dan perkara ini sejajar dengan misi Kerajaan Sarawak untuk menjadikan ilmu (pendidikan) sebagai teras utama dalam usaha untuk membasmi kemiskinan.
Sehubungan dengan itu, beliau menggalakkan penulisan dan penerbitan yang menyentuh elemen tempatan Sarawak serta turut memuji penerbitan buku Pantun Melayu Sarawak: Beraie Tembang Lamak karya Ketua Pengarah DBP, Yang Berusaha (YBrs.) Dr. Haji Hazami Jahari sebagai sebuah buku yang baik dalam mengetengahkan elemen tradisi Sarawak.
Pada majlis yang sama, beliau telah menyampaikan hadiah kepada penerima utama Anugerah Buku Terbaik Premier Sarawak.

Bagi kategori terbitan DBP, buku berjudul Empurau: Ikan Eksotik Sarawak oleh Emilyn Badut, Mohd Saiful Fadhli Maidin dan Siti Hawa Mohamad Ali telah berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM8,000 berserta dengan watikah pengiktirafan dan buku iringan terbitan DBP. Puan Emilyn Badut, dari Jabatan Pertanian Sarawak, merupakan antara penulis bersama buku Empurau: Ikan Eksotik Sarawak.

Manakala untuk kategori terbitan luar, buku berjudul Negeri Santubong: Sejarah Awal Sarawak 300 ESS-1647 ES oleh Datu Dr. Haji Sanib Haji Said telah berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM5,000 berserta dengan watikah pengiktirafan dan buku iringan terbitan DBP.

Yang turut hadir dalam majlis tersebut termasuklah Setiausaha Kerajaan Sarawak, YBhg. Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, YBhg. Datuk Dr. Annuar Rapaee; Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), YBhg. Datuk Dr. Juanda Jaya; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro merangkap Ahli Lembaga Pengelola DBP, YB Safiee Ahmad; Ahli Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Dato Dr. Jeniri Amir, ketua-ketua jabatan serta dif-dif kenamaan lain.