Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Paluan Gong yang bergema di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) menandakan tirai rasmi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 kali ke-42 dibuka secara rasmi pada hari ini.
Majlis pembukaan ini menjadi simbolik bermulanya acara tahunan yang dinanti-nantikan oleh para pencinta buku dari dalam dan luar negara. Paluan gong bukan sahaja menandakan pembukaan acara, malah turut mencerminkan semangat dan iltizam seluruh industri perbukuan dalam memperkukuh budaya membaca dan memperluas akses kepada ilmu pengetahuan.
Majlis Pembukaan Tirai PBAKL 2025 yang berlangsung pada pagi ini telah disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Yang Berusaha (YBrs.) Puan Aniza Kamarulzaman.
Dalam ucapannya, beliau berkata,
Pesta ini bukan sekadar acara tahunan, tetapi medan penting untuk mengangkat martabat buku, memperkukuh budaya membaca dan menyemarakkan ekosistem ilmu yang menyatukan pelbagai lapisan masyarakat dari guru, murid, penerbit sehinggalah pemimpin negara.

Tambah beliau, tema PBAKL 2025 pada tahun ini, iaitu “Buku: Membaca dan Memimpin” membawa pengertian yang mendalam kepada semua kerana slogan ini merupakan seruan strategik untuk memperkukuh budaya membaca sebagai asas pembinaan pemimpin masa hadapan.
Turut berucap sama dalam majlis tersebut ialah Tuan Haji Khair Ngadiron, Pengerusi Pengelola PBAKL 2025. Beliau berkata,
Keunikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur terletak pada sinergi antara hubungan industri dengan kementerian yang terlibat dalam pembangunan industri perbukuan negara. Tahniah diucapkan kepada industri dengan kehadiran sebanyak 1,172 reruai dalam usaha menjayakan PBAKL 2025.

PBAKL 2025 menghimpunkan ratusan penerbit, penulis, pengedar buku dan pengunjung dari pelbagai latar belakang menjadikannya satu daripada platform intelektual terbesar negara.
Pada tahun ini, PBAKL tampil dengan pelbagai program menarik termasuklah pelancaran buku baharu, sesi bual bicara bersama-sama penulis, aktiviti kanak-kanak dan pelbagai lagi.

Yang turut hadir dalam majlis ini ialah Yang Berbahagia (YBhg.) Dato’ Dr. Ivan Hoe Wat Sing, Presiden Persatuan Pengeksport dan Pengimport Buku Malaysia (MBEIA); Puan Adibah Omar, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku; Encik Keith Tong Yuet Sheng, Presiden Persatuan Penjual Buku Malaysia (MBA); Encik Syeikh Faisal Syeikh Mansor, Presiden Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA), serta Encik Adi Irwan Dato’ Azhari, Presiden Persatuan Kontraktor Buku Malaysia (PKBM).
Selain itu, turut hadir termasuklah YBhg. Datuk Mohamad Fazly Zainudin, Presiden Persatuan Industri Buku Bumiputera Malaysia (PIBM); YBrs. Profesor Madya Dr. Siti Rahmah Awang, Pengerusi Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM); YBrs. Encik Zulfa Hamzah, Timbalan Ketua Pengarah Operasi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), serta wakil dari Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM) dan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM).
PBAKL 2025 akan berlangsung dari 23 Mei 2025 hingga 1 Jun 2025 di WTCKL dengan pelbagai aktiviti menarik diadakan untuk semua lapisan masyarakat.