Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar − Majlis Pengurniaan Anugerah Cemerlang, Anugerah Kepujian dan Anugerah Khas daripada Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis telah diadakan bagi mengiktiraf pelajar yang mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2024, bertempat di Grand Ballroom, The Putra Regency Hotel, Kangar.
Majlis ini telah dianjurkan oleh YTSP Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis bagi mengiktiraf kejayaan para pelajar yang telah mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan SPM 2024 serta bertujuan untuk memberikan suntikan semangat dan motivasi kepada pelajar lain agar terus berusaha untuk mencapai kejayaan yang sama.
Seorang pelajar yang mendapat 7A+ dan 2A dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2024 dari SMK Derma, iaitu Nur Izzati Irdina Norzaimi telah terpilih sebagai penerima Anugerah Cemerlang Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis 2024.
Manakala Anugerah Kepujian YTSP Perlis pula disampaikan kepada Chong Irene, 8A+ 2A 1A-; Nur Aisyah Danish Aziz, 7A+ 3A; Rais Zafarsyahmi Mohd Syafarudy, 8A+ 1A dan Yong Zhee Sheng, 9A+ 2A; semuanya dari SMK Derma serta Nuruljannah Aqilah Zainalfitre (SMK Agama (Perempuan) Alawiyah) 8A+ 1A 2A-; Ahmad Iman Mohamad Fadhili (SMK Agama Arau) 10A 2A; Muhammad Azrul Arif Shaiful Nizam (SMK Agama Arau) 10A+ 2A; Nur Ain Maisarah Mohd Rozai (SMK Agama Arau) 8A+ 4A dan Muhammad Hanif Fitri Noorzamri (SMK Agama Arau) 8A+ 2A 1A-.
Manakala sebanyak 71 lagi pelajar “Straight A’s” sekolah harian di Perlis turut menerima Anugerah Khas YTSP Perlis pada tahun ini.

Semua anugerah tersebut telah disempurnakan penyampaiannya oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Turut berangkat bersama ialah anakanda Puteri Baginda berdua, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail.
Pada majlis yang sama, turut diadakan penyerahan Anugerah-Anugerah Cemerlang Yayasan Tuanku Syed Putra Dalam Bidang Sukan dan penerimanya adalah seseorang yang cemerlang dalam bidang sukan Woodball 2023/2024 pada Peringkat Antarabangsa, Amsyar Sirhan Saifullah Saharruddin; Pemenang pingat emas dalam acara 400m, Muhd Shahrul Azmer dan Pemenang Pingat Emas dalam acara lompat kijang Peringkat Antarabangsa, Zaiman Megat Abu dan pemenang pingat Emas SUKMA 2024 dalam Sukan Angkat Berat Peringkat Kebangsaan, Muhammad Hafizuddin Roslin.
Selain itu, majlis ini juga menjadi wadah untuk menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan kepada para guru dan ibu bapa atas sokongan, dorongan dan pengorbanan mereka sepanjang perjalanan akademik para pelajar.

Sebelum itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah bahawa guru memainkan peranan penting sebagai arkitek pembangunan ilmu dan sahsiah dalam kalangan pelajar. Lebih daripada sekadar menyampaikan ilmu secara teratur dan sistematik, guru harus memastikan bahan bantu belajar yang disediakan relevan dengan kehendak dan keperluan semasa peperiksaan.
Baginda bertitah, komitmen para guru tidak terhenti di dalam bilik darjah. Warga pendidik turut bertindak sebagai pembimbing dan pendorong yang memberikan semangat serta sokongan moral yang tidak ternilai kepada para pelajar dalam usaha mengejar kecemerlangan. Peranan ini menjadikan guru bukan sekadar pendidik, tetapi juga sebagai insan yang membentuk jati diri dan masa hadapan generasi akan datang.
“Atas segala sumbangan dan dedikasi yang dicurahkan tanpa mengenal penat lelah, wajar untuk kita menyanjung tinggi jasa mereka dan menghargai pengorbanan mereka dalam membentuk masyarakat berilmu dan berakhlak mulia”, titah Tuanku Raja Muda lagi.

Baginda turut menzahirkan ucapan tahniah kepada semua pelajar atas pencapaian cemerlang yang bukan sahaja membanggakan negeri Perlis, malah turut memberikan inspirasi kepada para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan penting yang sama pada tahun ini.