Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau − Majlis Pembukaan Sidang Kedua sempena Istiadat Konvokesyen Universiti teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis ke-101 telah menganugerahkan Ijazah Sarjana Muda dan Diploma kepada sejumlah 1121 graduan dengan disempurnakan oleh Yang Berbahagia (YBhg.) Pro-Canselor UiTM, Datuk Haji Abdul Wahab Aziz di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) UiTM Shah Alam baru-baru ini.
Istiadat Konvokesyen UiTM ke-101 yang berlangsung itu terdiri daripada graduan dari Fakulti Sains Komputer dan Matematik; Fakulti Alam Bina; Fakulti Pengurusan dan Perniagaan; Fakulti Perakaunan; Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi; Fakulti Sains Gunaan dan Fakulti Perladangan dan Agroteknologi UiTM Cawangan Perlis.
YBhg. Pro-Canselor UiTM, Datuk Haji Abdul Wahab Aziz dalam ucapannya berkata, peratusan tamat pengajian dalam tempoh bagi graduan UiTM Cawangan Perlis pada sidang ini secara keseluruhannya mencatatkan jumlah sebanyak 95 peratus.
“Sesungguhnya pengorbanan, ketekunan dan komitmen yang diberikan ketika bergelar mahasiswa selama ini telah membuahkan hasil yang bermakna,” ujar beliau.
Beliau turut mengucapkan syabas kepada ibu bapa, keluarga, pensyarah dan pentadbiran universiti yang turut sama memainkan peranan dalam melahirkan insan terbilang dan generasi berilmu.
Beliau berkata, sehingga tahun 2025, UiTM Cawangan Perlis telah mencapai banyak kejayaan antaranya termasuklah dalam melaksanakan sebanyak 74 Perjanjian Persefahaman bersama pelbagai universiti di dalam dan luar negara serta pihak industri dengan membuka ruang kepada para graduan untuk melibatkan diri dalam pelbagai inisiatif termasuk program perkongslan ilmu, penyelidikan dan mobiliti antarabangsa.
“Rentetan daripada pencapaian ini, saya rasa bersyukur dengan usaha gigih para graduan dan inilah yang dikatakan kecemerlangan seimbang, iaitu bukan sahaja dalam aspek akademik, malah turut cemerlang dalam pembangunan sahsiah graduan,” ujar beliau.
Beliau turut mengingatkan kepada para graduan agar terus memperkasakan diri dengan kemahiran teknologi digital dan kompetensi diri bagi memastikan mereka kekal relevan dalam arus globalisasi dan apabila menempuh alam pekerjaan kelak.
“Berdasarkan pertumbuhan ekonomi global pada masa kini, persaingan untuk mendapatkan pekerjaan sangat sengit. Oleh itu, graduan perlu bersedia melengkapkan diri dengan nilai kompetensi serta kemahiran teknologi digital supaya dapat mengasah potensi diri,” tambah beliau.
Beliau mengakhiri ucapan dengan mengucapkan selamat menempuh alam pekerjaan dan bersedia mengharungi realiti kehidupan dan mendoakan agar para graduan berjaya mencapai impian dalam bidang yang diceburi.

Pada masa yang sama, Yang Berusaha (YBrs.) Pensyarah Fakulti Sains Gunaan, Ts. Gs. Khairul Naim Abd Aziz berkata, graduan boleh meningkatkan kemahiran teknologi digital dengan mengikuti kursus dalam talian, menyertai bengkel serta seminar teknologi dan aktif menggunakan alat digital.
“Mahasiswa yang proaktif dan konsisten dengan pendekatan ini bukan sahaja dapat meningkatkan kemahiran, malah turut mempunyai daya saing di pasaran kerja digital,” kata beliau.
Beliau juga berkata bahawa graduan perlu mempunyai kompetensi diri yang tinggi agar mereka dapat menyesuaikan diri dengan perubahan, bertindak secara matang dalam menghadapi cabaran serta berusaha secara berterusan untuk proses penambahbaikan diri.
“Kompetensi ini sangat penting dalam kehidupan peribadi, pembelajaran, dan kerjaya kerana dapat membentuk asas kepada kejayaan jangka panjang”, kata beliau.

Sementara itu, Penerima Anugerah Naib Canselor UiTM, Saudari Dayanna Rashidi yang merupakan graduan Program Sarjana Muda Sains Kepujian Teknologi Marin Lestari berkata antara rahsia kejayaannya termasuklah beliau amat mementingkan pengurusan masa yang efektif dan sentiasa menyiapkan setiap tugasan yang diberikan oleh pensyarah dengan cepat dan tersusun agar hasil kerja yang dilakukan kekal berkualiti.
“Saya akan berhubung dengan pensyarah berkenaan jika saya mempunyai sebarang pertanyaan atau pandangan tentang topik atau tugasan yang diberikan agar lebih difahami,” ujar beliau.
Menurutnya, dorongan keluarga dan kawan-kawan juga merupakan satu daripada aspek yang menyumbang kepada kejayaannya.
Selain itu, beliau turut berkata bahawa mahasiswa dan graduan perlu mempunyai adab semasa menuntut ilmu kerana adab memainkan peranan yang penting dalam proses kemenjadian graduan UiTM.
“Graduan harus mempunyai nilai etika dan adab yang baik kerana mereka secara tidak langsung membawa nama baik UiTM apabila menjejakkan kaki ke alam kerjaya kelak,” tambahnya.
Sidang Kedua Istiadat Konvokesyen UiTM ke-101 ditangguhkan selepas YBrs. Timbalan Naib Canselor, Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Ts. Dr. Norazah Abd Rahman mengisytiharkan semua graduan secara automatik bergelar alumni UiTM pada hari tersebut.
Turut hadir dalam sidang ini termasuklah barisan Pengurusan Eksekutif Universiti, barisan Pengurusan Kanan Universiti, kakitangan akademik dan pentadbiran serta ibu bapa.