Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuching – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan enam inisiatif keistimewaan yang diberikan kepada guru sebagai tanda keprihatinan dan tanggungjawab dalam usaha menangani isu rintihan guru terhadap sistem pendidikan.
Inisiatif berkenaan diumumkan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Fadhlina Sidek dalam Majlis Perasmian Sambutan Hari Guru 2025 di Borneo Convention Centre Kuching, pada Jumaat lalu.
YB Fadhlina berkata, pihaknya akan sentiasa menjaga kebajikan guru dengan memberikan beberapa inisiatif keistimewaan atas sumbangan dan jasa didikan para guru terhadap pendidikan negara.
Antara inisiatif yang diperuntukkan oleh KPM termasuklah guru yang sudah berkhidmat selama dua tahun boleh membuat permohonan untuk bertukar ke sekolah yang lain yang dikehendakinya tanpa sebarang syarat.
Katanya, inisiatif ini diberikan untuk menambah baik sistem e-Gtukar yang sebelum ini menimbulkan rungutan dan rintihan dalam kalangan guru kerana terpaksa menunggu lama untuk berpindah.
Selain itu, KPM juga akan melantik sebanyak 1470 orang pembantu guru di bawah program My Digital Guru (MyDG) bagi meringankan bebanan tugas guru.
Inisiatif ketiga, sejumlah 32 orang guru yang memenangi enam anugerah, iaitu Anugerah Khas Pendidikan, Anugerah Guru Inovatif, Anugerah Guru Ikon, Anugerah Guru Berwibawa, Anugerah Khas Bitara Bahasa dan Anugerah Khas Menteri Pendidikan akan dihantar ke United Kingdom bagi mengikuti program Inovasi Global untuk Guru Masa Depan (GIFTS).
Inisiatif keempat ditujukan kepada guru dan pegawai terpilih untuk dihantar ke luar negara bagi mengikuti Program Kursus Jangka Pendek untuk menimba ilmu pengetahuan dan pengalaman dalam beberapa bidang terpilih.
Di samping itu, YB Fadhlina mengumumkan inisiatif kelima, iaitu KPM juga akan menawarkan diskaun sebanyak 20 peratus bagi pembelian tiket kapal terbang kepada guru ke seluruh destinasi melalui portal MH GoM.
Inisiatif keenam pula, guru diberikan diskaun antara 20 peratus hingga 30 peratus untuk pembelian buku secara dalam talian menggunakan ID DELIMa KPM.
Sementara itu, majlis perasmian turut diserikan dengan penyampaian Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan dan Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Negara yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Negara 2025 disandang oleh Datuk Dr. Mistirine Radin yang membawa pulang wang tunai sebanyak RM50,000 dan sijil penghargaan daripada KPM.
Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan 2025 pula dimenangi oleh Cikgu Sukimin Juki serta penganugerahan berjumlah RM50,000 dan sijil penghargaan.

