Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuching – Tema “Guru Pemacu Reformasi Pendidikan” bersempena dengan Majlis Perasmian Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-54 Tahun 2025 mengiktiraf golongan pendidik sebagai paksi dalam mencorak reformasi pendidikan negara, meskipun dunia terus mengalami perubahan pesat dengan kemunculan pelbagai teknologi baharu.
Menurut Menteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Puan Fadhlina Sidek, fungsi dan tanggungjawab guru mengangkat martabat insan dan memanusiakan manusia tidak dapat digantikan oleh mana-mana pihak.
“Tugas guru selama-lamanya adalah untuk mempersiapkan peribadi manusia dan saya mahu para guru mengambil tanggungjawab ini dengan penuh iltizam serta komitmen,” katanya ketika berucap di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, semalam.
Jelas beliau, masyarakat akan menikmati kehidupan yang harmoni apabila guru berjaya melahirkan insan yang baik, tertib dalam tatasusila, serta memiliki adab yang tinggi.
Tambah beliau lagi, usaha tersebut bertitik tolak daripada misi pendidikan karakter dan peranan guru yang selari dengan misi peradaban dan misi profetik.
Hal ini dikatakan demikian kerana gerakan pendidikan karakter di Amerika Syarikat oleh tokoh pendidikan terkenal, Profesor Thomas Lickona sebelum ini mendapat sokongan meluas dalam kalangan guru di negara berkenaan yang menjadi pemacu kepada gerakannya berikutan berlakunya kejatuhan moral masyarakat pada ketika itu.
Dengan mengambil inspirasi daripada usaha tersebut, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merancang untuk mengangkat pendidikan karakter sebagai tunjang utama bagi kurikulum tahun 2027 dengan memberikan fokus kepada pembinaan akhlak dan sahsiah murid.
“Tanggungjawab ini sangat penting kerana perkara ini akan meletakkan negara kita pada peringkat yang bukan sahaja menguasai ilmu terkini, tetapi menjiwai watak bangsa yang kekal serta tekal dengan pendidikan adab dan akhlak,” tegasnya.
Sehubungan dengan itu, kata beliau, pemilihan dan pembangunan guru harus dilakukan dengan penuh integriti yang tinggi menerusi tiga ciri utama, iaitu kewibawaan, kesantunan dan kesabaran supaya menjadi suri teladan kepada anak bangsa.
Di samping itu, beliau turut memaklumkan bahawa KPM akan menambah pasukan petugas baharu untuk memastikan segala pelaksanaan reformasi pada peringkat sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah bergerak secara tersusun dan terarah.
Tegas beliau, antara agenda penting yang diketengahkan dalam hala tuju pendidikan negara termasuklah reformasi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang kini menjadi keutamaan serta sering diangkat dalam pelbagai platform nasional.
Dunia melihat bahawa reformasi pendidikan harus bermula dalam kelas dan perkara tersebut merupakan bukti penting bahawa reformasi yang benar-benar berjaya ialah reformasi yang bermula daripada unit yang lebih kecil, iaitu kelas.
Oleh itu, ujar beliau, kerajaan akan terus memberikan perhatian dan sokongan kepada semua guru yang menjadi pemacu utama dalam usaha meningkatkan martabat dan kualiti pendidikan negara.
Turut hadir dalam majlis perasmian tersebut ialah Timbalan Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi; Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, YB Dato’ Sri Roland Sagah Wee Inn; Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, YB Dato’ Sri Hajah Fatimah Abdullah; timbalan-timbalan menteri, pegawai-pegawai kanan KPM dan para guru.