Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuching – Pelan Pembangunan Pendidikan Negara Tahun 2026 hingga Tahun 2035 yang akan datang melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memerlukan sokongan daripada semua pihak bagi melancarkan sistem pendidikan di negara ini.
Menurut Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBhg. Datuk Haji Azman Haji Adnan, pelan tersebut masih belum diterbitkan secara rasmi oleh kerajaan Malaysia, tetapi beliau percaya semua hasrat dan pandangan yang berkaitan dengan profesion guru akan disampaikan oleh seluruh kelompok masyarakat di negara ini.
“Kita berharap agar rakan-rakan guru dapat bersama-sama dengan KPM untuk memastikan kita dapat memartabatkan profesion dan kualiti pendidikan melalui pelan pembangunan pendidikan sedia ada dan pelan yang baharu,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Bicara Profesional dengan tajuk “Reformasi Pendidikan: Guru Menginspirasi Perubahan” dalam sambutan Hari Guru Edisi Ke-54 dengan tema “Guru Pemacu Reformasi Pendidikan” yang berlangsung di Waterfront Kuching, Sarawak, semalam.

YBhg. Datuk Haji Azman Haji Adnan berkata, KPM dan guru-guru hendaklah bersiap sedia dengan kurikulum yang baharu kepada anak-anak dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Negara Tahun 2026 hingga 2035 itu nanti.
Katanya lagi, guru-guru yang sedang berkhidmat hendaklah melakukan reformasi pendidikan dalam pasukan yang mantap serta mempertahankannya daripada golongan yang ingin menjadi perosak kepada sistem pendidikan.
Pada penghujung bual bicara, YBhg. Datuk Azman Adnan berkata:
Sekali kita jadi guru, orang akan panggil kita cikgu sampai bila-bila dan di mana-mana. Macam saya, orang akan panggil Cikgu Azman.
Sebagai rekod, sebanyak 419 000 orang guru di seluruh Malaysia sedang berkhidmat di 10 000 buah lebih sekolah rendah dan sekolah menengah di seluruh Malaysia.
Sementara itu, terdapat kira-kira 5.1 juta orang murid dan pelajar yang berdaftar dengan KPM daripada prasekolah sehinggalah tingkatan enam.