Muhammad Haziq bin Noor Affandi .
Diterbitkan pada 16 Mei 2025, 16:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuching – Menteri Pendidikan Malaysia, YB Puan Fadhlina Sidek mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para guru yang menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang atas komitmen jitu mereka dalam mendidik anak bangsa.

Ucapan ini disampaikan oleh beliau dalam Majlis Anugerah Hari Guru bersempena dengan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2025 di Hikmah Exchange Event Centre, Kuching, Sarawak, petang semalam.

Menurut YB. Fadhlina Sidek, pelaksanaan Sambutan Hari Guru bertujuan untuk meraikan para pendidik yang telah bertungkus-lumus mendidik anak bangsa untuk menjadi generasi yang berdaya saing, berakhlak tinggi dan dipandang mulia oleh masyarakat.

Tambah beliau, pengiktirafan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang merupakan penghargaan yang terhormat kepada warga pendidik yang telah menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam dunia pendidikan.

“Saya berharap agar penyampaian anugerah yang berprestij tinggi ini dapat mengaspirasikan guru yang lain untuk meningkatkan kecemerlangan prestasi dalam mendidik anak bangsa”, ujarnya.

Selain itu, beliau turut memuji perkembangan positif pembelajaran di dalam bilik darjah yang ditunjukkan oleh guru berwibawa melalui pelaksanaan reformasi pendidikan. Secara tidak langsung, perkara ini membuktikan keberkesanan pembelajaran kepada murid.

“KPM juga menawarkan dua anugerah khas kepada warga guru yang komited meningkatkan prestasi baik dalam bidang pendidikan”, jelasnya lagi.

Pada masa yang sama, YB Fadhlina Sidek juga melancarkan dua judul buku nukilan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) di bawah Geran Penerbitan Insiatif Khas KPM, iaitu Kepimpinan Guru Madani: Pemangkin Transformasi Masyarakat dalam Varia Ranah dan Membangun Ketokohan Guru Madani melalui Pentaksiran Bilik Darjah.

Menteri Pendidikan Malaysia, YB Fadhlina Sidek melancarkan dua judul buku semasa Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2025 yang turut disaksikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, YB Wong Kah Woh serta barisan pegawai kanan KPM di Hikmah Exchange Event Centre, Kuching, Sarawak, petang semalam.

Turut hadir sama dalam majlis ini termasuklah Timbalan Menteri Pendidikan, YB Wong Kah Woh; barisan dif kehormat; pegawai kanan KPM, para guru dan pihak agensi di bawah KPM.

Kredit Foto: KPM

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi