Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 16 Mei 2025, 15:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Samarahan – Dalam usaha memberikan pendedahan kepada para pelajar dalam bidang komunikasi dan relenvansi generasi muda terhadap industri media, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak dengan kerjasama Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menganjurkan Program Wacana Ilmu Bahasa dan Komunikasi.

Program tersebut berlangsung di Space Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi, UNIMAS semalam bersempena dengan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Tahun 2025.

Dekan Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi, UNIMAS, YBrs. Dr. Dilah Tuah dalam ucapannya berkata, penglibatan pelajar dalam program wacana ini, khususnya mereka yang mengambil jurusan Komunikasi Strategik merupakan satu platform bermanfaat memandangkan penempatan dalam industri yang berkaitan selepas tamat pengajian menjadi penanda aras utama keberhasilan graduan.

Dekan Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi, UNIMAS, YBrs. Dr. Dilah Tuah ketika menyampaikan ucapannya.

Menurutnya, dengan kehadiran tokoh media seperti Tuan Haji Nazri Kahar, para mahasiswa berpeluang mendapatkan gambaran lebih jelas tentang realiti dunia media yang tidak dapat didedahkan sepenuhnya di dalam bilik kuliah.

Hal ini demikian kerana beliau menjelaskan bahawa pendedahan sebegini amat penting untuk dijadikan sebagai panduan bagi mempersiapkan para pelajar sebelum memasuki alam pekerjaan.

Kata beliau lagi, pelajar jurusan Komunikasi Strategik di fakulti berkenaan digalakkan untuk menceburkan diri dalam bidang media dan penyiaran kerana hal tersebut merupakan hasrat asal universiti ketika menubuhkan program tersebut.

“Program seperti ini juga penting kepada pelajar lain dalam bidang Linguistik, Pendidikan dan Bahasa Inggeris bagi Komunikasi Antarabangsa kerana pendedahan secara langsung daripada tokoh industri berpengalaman mampu memberikan panduan dan dorongan kepada kita untuk berjaya,” katanya.

Menyedari cabaran yang dihadapi oleh generasi muda masa ini yang sering dilabel sebagai “generasi strawberi”, beliau menekankan bahawa golongan ini perlu memiliki daya tahan yang kuat.

Dalam usaha memperkukuh pendedahan industri, beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya berbincang dengan Tuan Haji Nazri Kahar untuk menganjurkan beberapa program bersama-sama dengan para pelajar di fakulti tersebut pada masa akan datang.

Editor Kanan Astro Awani, YBrs. Tuan Haji Nazri Kahar semasa sesi perkongsiannya dalam Wacana Ilmu Bahasa dan Komunikasi.

Pada masa yang sama, menerusi Program Wacana Ilmu Bahasa dan Komunikasi, Editor Kanan Astro Awani, YBrs. Tuan Haji Nazri Kahar turut berkongsi tentang realiti industri media masa ini yang kian mencabar, keperluan untuk generasi muda mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan, tuntutan kemahiran dalam pelbagai platform serta kepentingan kepekaan terhadap isu semasa.

Wacana tersebut juga memperlihatkan kerjasama antara institusi pengajian tinggi dengan industri amat penting untuk memastikan graduan kekal relevan dan bersedia menghadapi dunia media serta memahami peranan wartawan yang bukan sekadar menjadi penyampai maklumat, tetapi sebagai agen penyatuan dan keharmonian masyarakat.

Objektif penganjuran program wacana tersebut adalah untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran berkomunikasi dalam kalangan pensyarah dan para pelajar, seterusnya melahirkan masyarakat yang mencintai bahasa kebangsaan.

Dekan Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi, UNIMAS, YBrs. Dr. Dilah Tuah (tengah) yang diiringi oleh Timbalan Pengarah DBP Cawangan Sarawak, YBrs. Puan Edith Sulie Bidas (kanan) ketika menyampaikan cenderamata kepada Editor Kanan Astro Awani, YBrs. Tuan Haji Nazri Kahar (kiri).

Turut hadir dalam program tersebut ialah Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), YBrs. Dr. Haji Santrol Abdullah; Timbalan Dekan (Pengajian Prasiswazah), YBrs. Dr. Remmy Gedat; Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Pengkomersialan), YBrs. Dr. Jamali Bujang Sanawi; Timbalan Dekan (Hubungan Industri dan Masyarakat), YBrs. Dr. Noratikah Mohamad Ashari; Timbalan Pengarah DBP Cawangan Sarawak, YBrs. Puan Edith Sulie Bidas; pegawai kanan DBP Cawangan Sarawak, para pensyarah dan pelajar.

Program Wacana Ilmu Bahasa dan Komunikasi yang turut dihadiri barisan kepimpinan tertinggi Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi, UNIMAS, pegawai DBP Cawangan Sarawak, para pensyarah dan pelajar.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi