Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 14 Mei 2025, 23:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuching – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP) komited memperkasakan guru sebagai pemimpin digital selaras dengan kemajuan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang semakin pesat berkembang.

Perkara tersebut disuarakan oleh Pengarah BSTP KPM, YBrs. Puan Aniza Kamarulzaman dalam Forum Pendidikan bertajuk Randau Pendidik 2025: Pemacu Masa Hadapan Pendidikan bersempena dengan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 di Dataran Waterfront, pagi tadi.

Beliau yang juga merupakan ahli panel dalam forum berkenaan menjelaskan bahawa pelbagai inisiatif dilaksanakan oleh pihaknya bagi memastikan para guru bukan sahaja celik teknologi, malah mampu membimbing murid secara beretika dan berkesan.

“Pihak BSTP melaksanakan kerjasama dengan CyberSecurity Malaysia dan National AI Office (NAIO) untuk memastikan guru memimpin penggunaan digital di sekolah, seterusnya anak-anak kita mempunyai kreativiti dengan berpandukan garis panduan yang telah ditetapkan,” katanya.

Ujar beliau, sebagai sebahagian daripada inisiatif itu, BSTP turut menyediakan modul khusus kepada warga pendidik dan pelajar bagi memastikan penggunaan teknologi digital dan kecerdasan buatan berlaku secara terarah dan beretika.

Malah, murid-murid yang berada pada tahun tiga, tahun enam dan tingkatan empat juga menjalani pentaksiran asas bagi mengukur tahap kefahaman mereka terhadap etika penggunaan AI dan teknologi digital.

Mengulas tentang pembangunan teknologi pada peringkat antarabangsa, beliau menegaskan bahawa Malaysia tidak boleh ketinggalan dalam arus kemajuan seperti AI generatif, AI kuantum dan buku teks digital berasaskan AI.

Oleh itu, pendekatan pendidikan digital perlu memberikan penekanan kepada pemeliharaan nilai dan budaya timur serta memastikan murid menerima manfaat teknologi melalui kaedah pembelajaran.

“Dari segi inklusiviti, kita juga akan memastikan anak-anak yang berada di sekolah pendidikan khas disantuni melalui pendekatan digital,” ujarnya.

Aspek peningkatan kompetensi digital turut diberikan perhatian dengan melibatkan pemimpin sekolah seperti pengetua dan guru besar melalui program latihan di bawah kendalian Institut Aminuddin Baki supaya penyampaian pendidikan digital daripada guru tidak terhenti akibat kurangnya sokongan pihak pengurusan sekolah.

Menurut beliau, pihaknya telah mengenal pasti beberapa buah sekolah untuk dijadikan sebagai AI-Powered Classroom yang menggunakan teknologi AI sebagai alat bantu dalam pembelajaran dan pengajaran (PdP) dan pengurusan sekolah.

Selain itu, beliau turut mengalu-alukan kerjasama dengan syarikat luar melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam usaha menyumbang prasarana digital kepada sekolah.

“Dari segi kolaborasi, lebih 90 peratus sekolah di Malaysia mempunyai kerjasama dengan syarikat luar dalam bidang digital,” tegasnya.

Kata beliau, Dasar Pendidikan Digital 2.0 yang diperkenalkan oleh KPM amat penting bagi merealisasikan hasrat pendidikan Malaysia dalam dunia yang serba moden supaya para guru menggunakan AI dengan berhemah.

Bagi pemerkasaan teknologi AI menerusi pembelajaran digitalisasi dalam kalangan guru, BSTP, Sektor Sumber Teknologi Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri serta Pusat Kegiatan Guru menyediakan peralatan teknologi berkenaan kepada mereka dalam mendepani cabaran digitalisasi.

Oleh itu, pendedahan secara holistik terhadap pengajaran melalui digitalisasi memberikan keterujaan kepada guru, selain perlu cakna terhadap penggunaan teknologi AI dalam kalangan pelajarnya.

Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari (kiri) ketika menyampaikan cenderamata kepada Pengarah BSTP KPM, YBrs. Puan Aniza Kamarulzaman (kanan) selaku ahli panel Forum Pendidikan.

Sementara itu, forum tersebut turut menampilkan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Dasar dan Kurikulum), YBrs. Dr. Rusmini Ku Ahmad dan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Pembangunan Profesionalisme Guru), YBrs. Dr. Mohd Azam Ahmad sebagai ahli panel serta dipengerusikan oleh YBrs. Tuan Haji Nazri Kahar selaku moderator.

Editor Kanan Astro Awani, YBrs. Tuan Haji Nazri Kahar sebagai moderator forum.

Turut hadir memeriahkan forum tersebut ialah Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Dr. Hazami Jahari; Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, YBrs. Encik Abang Haliman Abang Julai; Ketua Bahagian Komunikasi Korporat DBP, Puan Norhasmanalinda Mustapa, pegawai kanan KPM dan para pelajar Institut Pendidikan Guru Malaysia.

Barisan tetamu kehormat bersama-sama dengan ahli panel dan moderator Forum Pendidikan Randau Pendidik 2025: Pemacu Masa Hadapan Pendidikan.
Ketibaan Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari (dua dari kiri) dan Editor Kanan Astro Awani, YBrs. Tuan Haji Nazri Kahar (kiri) ke program Forum Pendidikan Randau Pendidik 2025: Pemacu Masa Hadapan Pendidikan.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi