Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 6 Mei 2025, 20:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Shah Alam – Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim menekankan bahawa generasi muda kini perlu membawa perubahan serta bersedia menyesuaikan disiplin ilmu baharu menerusi latihan, kepakaran dan keupayaan yang dimiliki.

Beliau menjelaskan bahawa generasi muda perlu memainkan peranan utama dalam usaha memperoleh dan mengasimilasikan kepakaran, terutamanya dalam bidang sains dan disiplin ilmu baharu seperti pendigitalan, kecerdasan buatan serta peralihan tenaga yang belum pernah dibincangkan sebelum ini.

Selain itu, pemerolehan ilmu merupakan suatu kewajipan setiap anak muda dalam usaha mengembangkan kepakaran yang akhirnya akan digunakan untuk kembali berkhidmat kepada masyarakat dan negara.

Pemerolehan ilmu semata-mata untuk hidup selesa bukanlah matlamat akhir, tetapi untuk menyebarkan keadilan dan kebenaran. Itulah cabaran utama.

“Walaupun kita bercakap tentang sains, namun dalam kerangka MADANI, kita turut berbicara tentang nilai, etika, maruah insan serta peranan kita untuk memastikan wujudnya sebuah masyarakat yang adil dan saksama menerusi peranan golongan muda,” katanya ketika berucap di Dewan Canselor, Management and Science University (MSU) bersempena dengan Program Temu Anwar IPTS, semalam.

Di samping itu, beliau turut menyentuh tentang dunia kini mengalami defisit kepercayaan pada zaman pascanormal, iaitu seluruh dunia dipenuhi dengan kekacauan dan percanggahan akibat kebenaran dan keadilan dianggap sebagai sesuatu yang relatif.

“Kita bukan melatih mesin, kita mendidik manusia,” ujarnya sambil mengingatkan para pelajar agar tidak melupakan nilai asas dalam kehidupan.

Dalam inti pati ucapannya, beliau menegaskan kepentingan bekerjasama tanpa mengira bangsa, agama atau latar belakang kerana kejayaan universiti dan institusi pendidikan bergantung pada kerjasama sepasukan.

Saya percaya pendidikan seharusnya membentuk akhlak, nilai dan penghormatan terhadap maruah manusia.

Beliau turut mengulas lanjut bahawa pelajar dalam bidang kecerdasan buatan (AI) mempunyai peranan penting dalam pembangunan teknologi negara dan harus diberi ruang kepada mereka untuk menyumbang kepakaran masing-masing.

Beliau berkata bahawa AI kini diberikan penekanan tinggi oleh kerajaan, termasuk dengan penubuhan fakulti AI di Universiti Teknologi Petronas dan penglibatan aktif universiti lain seperti MSU.

Bagi saya, (sudah) tentu AI itu sangat kritikal. Keadaan ini seperti zaman revolusi industri mesin, kemudian komputer dan sudah tentu menjadi suatu perkakasan dengan keperluan yang sangat mendesak.

Oleh itu, penguasaan dalam bidang AI amat diperlukan kerana negara masih mengalami kekurangan puluhan ribu jurutera dan pakar dalam bidang berkenaan.

Menurut beliau lagi, generasi muda perlu memiliki keupayaan untuk memasukkan input tepat ke dalam sistem AI agar maklumat yang dihasilkan kelak mencerminkan kefahaman serta nilai budaya tempatan.

Cabaran utama kini bukan sahaja melibatkan kepakaran teknikal dan saintifik, tetapi juga keupayaan untuk menggabungkan teknologi dengan nilai, budaya dan seni dalam kalangan masyarakat.

Beliau juga memaklumkan bahawa kerajaan telah mengarahkan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk menyelaras pengukuhan bidang AI merentasi institusi awam dan swasta, dengan pendekatan penyelidikan yang tidak hanya tertumpu kepada universiti awam, malah turut merangkumi mana-mana institusi pendidikan tinggi yang memiliki keupayaan serta bersedia untuk bekerjasama.

Kredit Foto: KPT
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi