Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangAbu Dhabi – Penyertaan Malaysia melalui Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dalam Pesta Buku Antarabangsa Abu Dhabi (PBAAD) 2025 yang berlangsung dari 26 April sehingga 5 Mei di Abu Dhabi pada kali ini merupakan penyertaan buat kali yang ke-3.
Pada tahun ini Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) turut sama menyertai PBAAD buat kali yang pertama. Selain DBP, reruai Malaysia turut disertai oleh penerbit Evergreen Publication.



Selain Malaysia, PBAAD kali ke-34 ini disertai oleh 1400 pempamer yang mewakili 96 negara. Pesta buku ini diadakan di Pusat Pameran Kebangsaan Abu Dhabi (ADNEC), iaitu tempat pameran yang terbesar di Timur Tengah yang meliputi keluasan lebih 153 ribu meter persegi dan berada hanya 15 kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa Zayed Abu Dhabi dan menjadikannya lokasi yang sangat selesa dan strategik.

Pada tahun ini, PBAAD kembali dengan tema “Knowledge Illimunates Our Community” sangat bertepatan dengan penekanan terhadap program galakan masyarakat membaca yang turut disertai oleh hampir semua institusi budaya yang besar di United Arab Emirate (UAE), termasuklah lebih 15 universiti dan perpustakaan.

Sempena PBAAD 2025 ini juga, pada 29 April 2025 telah berlangsung majlis Anugerah Buku Sheikh Zayed yang berprestij yang menawarkan hadiah keseluruhan kepada pemenangnya sehingga AED7.75 juta (RM9.1 juta). Anugerah ini menampilkan 10 kategori pemenang dan menawarkan AED750 ribu (RM881 ribu) bagi setiap pemenang, manakala pemenang yang dinobatkan sebagai Personaliti Budaya Tahun 2025 menerima AED 1 juta (RM1.175 juta).

Pada tahun ini, dua kategori utama anugerah, iaitu Anugerah Buku Kesusasteraan telah dimenangi oleh penulis kacukan Lebanon-Perancis, Hoda Barkat melalui novel Hind or the Most Beautiful Women in the World, manakala Anugerah Buku Kesusasteraan Kanak-kanak telah dimenangi oleh penulis Morocco, Latifa Labsir dengan bukunya The Phantom of Sabiba.
Pada tahun ini juga menyaksikan penulis dari Jepun, Haruki Murakami dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Personaliti Budaya Tahun 2025. Haruki Murakami mendapat ilham berkarya dengan membaca karya One Thousand and One Nights dan hasil kerjanya telah menghubungkan dan menyatukan antara dua budaya, iaitu dunia Asia dengan dunia Arab.

Semoga dengan penyertaan MBKM, DBP dan penerbit lain dari Malaysia dapat memeriahkan PBAAD pada tahun-tahun yang mendatang dan membuka peluang kepada karya atau penulis dari Malaysia pula dinobatkan sebagai pemenang anugerah yang berprestij ini. Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu.
Wakil DBP yang hadir ke PBAAD ialah Encik Saifudin Abu Bakar, Pengurus Besar Pemasaran dan Pengedaran DBP, Puan Marsilawati Mohamad Rani, Timbalan Ketua Editor Bahagian Buku Umum DBP dan Mohd Saiful Amri Zainal Abidin, Penolong Perancang Bahasa dari Bahagian Harta Intelek DBP.
Sumber foto: Saifudin Abu Bakar