Diterbitkan pada 1 Mei 2025, 16:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bukit Jalil – Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kemakmuran negara mesti dirasai oleh semua rakyat, terutamanya golongan pekerja yang menjadi tulang belakang kepada pembangunan negara.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam sambutan Hari Pekerja 2025 bertemakan “Pekerja Kesuma Bangsa” di Axiata Arena, Bukit Jalil pagi tadi.

“Tanpa pekerja, tidak ada istana raja. Tanpa pekerja, tidak ada hospital megah. Tanpa pekerja, keluarga kita tidak dirawat. Tanpa pekerja, keselamatan kita tidak terjamin,” ujar Perdana Menteri dengan mengingatkan bahawa peranan pekerja merentas semua lapisan amat penting dalam memastikan negara terus makmur dan aman.

Antara inisiatif utama yang diumumkan termasuklah pelaksanaan Sistem Saraan Penjawat Awam yang baharu, dengan kenaikan gaji lebih tinggi bagi kumpulan pendapatan rendah, iaitu antara 15 peratus hingga 30 peratus.

“Kenaikan yang meraikan pekerja bawahan dilaksanakan sebab kita tidak mahu negara ini makmur untuk sebilangan kecil pihak sahaja,” ujar beliau.

Kerajaan turut komited terhadap pelaksanaan gaji minimum dan gaji progresif, di sebalik tentangan sebahagian daripada majikan. Perdana Menteri menegaskan, perjuangan ini bukan retorik semata-mata.

“Tidak mudah bagi seorang Perdana Menteri untuk menyuarakan isu penggajian kerana keuntungan sesebuah syarikat atau organisasi pastinya disebabkan oleh kecekapan tukang cuci, juruteknik, jurujual dan pekerja-pekerja. Oleh itu, berilah gaji yang munasabah kepada mereka,” katanya dengan lantang.

Beliau juga mengumumkan rancangan untuk memperkenalkan Kad Pekerja MADANI, yang akan memberikan diskaun kepada pekerja yang berdaftar dengan kesatuan pekerja dalam pelbagai kemudahan.

Dalam menyentuh isu perumahan, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim turut mengumumkan Residensi MADANI yang merupakan satu program perumahan mampu milik baharu yang membantu golongan berpendapatan rendah di Wilayah Persekutuan untuk memiliki rumah yang selesa dan berkualiti. Beliau juga mengumumkan bahawa Kerajaan bakal memperkenalkan Rang Undang-undang Pembaharuan Semula Bandar bagi memastikan perumahan minimum yang menyediakan tiga bilik dan dua bilik air menjadi realiti, sekali gus menggantikan rumah-rumah lama yang sempit dan tidak selesa.

Perdana Menteri juga menyentuh keperluan menyediakan pendidikan dan kesihatan yang berkualiti kepada anak-anak pekerja, agar mereka tidak terus ketinggalan dalam arus pembangunan negara.

YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim turut mengajak pekerja supaya bersatu padu tanpa mengira kaum, agama atau wilayah.

“Kita fikir nasib pekerja, kesatuan pekerja dan semangat pekerja dengan mengangkat martabat pekerja secara keseluruhannya,” jelas beliau.

Beliau juga memaklumkan bahawa Rang Undang-undang Pekerja Gig akan dibentangkan dalam sidang Parlimen akan datang bagi menangani isu pekerja dalam sektor ekonomi Gig.

Menerusi majlis sambutan Hari Pekerja 2025, YBrs. Encik Zainal Abas, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah) turut menerima Anugerah Tokoh Pekerja Negara Perkhidmatan Awam (Kumpulan Pengurusan Tertinggi), manakala Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat menerima Anugerah Kesatuan Sekerja Terbaik Negara (Sektor Awam) dengan masing-masing membawa pulang RM10,000.00. Anugerah tersebut disampaikan oleh Perdana Menteri.

YBrs. Encik Zainal Abas, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah) semasa menerima Anugerah Tokoh Pekerja Negara Perkhidmatan Awam (Kumpulan Pengurusan Tertinggi).
Tuan Haji Juhari Mohamad Nor, Presiden Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat mewakili persatuan semasa menerima Anugerah Kesatuan Sekerja Terbaik Negara (Sektor Awam).

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Zahid Hamidi dan YAB Dato’ Sri Fadillah Yusof serta Menteri Sumber Manusia (KESUMA), YB Steven Sim Chee Keong.

Kredit Foto: Khairul Azhar
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi