Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSeremban – Enforcement, Leadership and Management University (ELMU) dan Majlis Guru Kaunseling Kebangsaan (MGKK) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh pembangunan profesionalisme guru bimbingan dan kaunseling. Program yang menghimpunkan hampir 200 orang guru bimbingan dan kaunseling dari seluruh Negeri Sembilan telah dirasmikan oleh Pengarah Yayasan Negeri Sembilan, YBhg. Dato’ Muhammad Nazri Kassim, kelmarin.
Berdasarkan kenyataan ELMU, MoU itu telah ditandatangani bersempena dengan Program Profesionalisme Guru Bimbingan dan Kaunseling 2025 di kampus ELMU di Bandar Enstek.
Dalam majlis menandatangani MoU itu, ELMU diwakili oleh Ketua Eksekutif merangkap Naib Canselornya, Yang Berbahagia (YBhg.) Profesor Datuk Dr. Kassim Noor Mohamed, manakala MGKK diwakili oleh Yang Dipertuanya, Yang Berusaha (YBrs.) Tuan Haji Ismail Hashim.

Ketua Eksekutif merangkap Naib Canselor, YBhg. Datuk Dr. Kassim ketika berucap menyifatkan kerjasama itu sebagai titik mula kepada satu hubungan strategik yang mampu membuka ruang lebih luas dalam pengembangan ilmu, kepakaran serta peluang akademik kepada guru bimbingan dan kaunseling.
“Program ini amat signifikan dalam usaha untuk membincangkan pencapaian, merancang hala tuju masa depan dan mengenal pasti isu-isu semasa yang berkaitan dengan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling. Selain itu, program ini turut berperanan sebagai platform strategik untuk memperkukuh jaringan kerjasama antara para guru bimbingan dan kaunseling serta meningkatkan tahap profesionalisme dalam kalangan ahlinya,” ujar beliau.
Dr. Kassim turut berkata bahawa peranan guru bimbingan dan kaunseling amat penting dalam membentuk generasi pelajar yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi juga seimbang dari sudut emosi, sosial dan jati diri.
Perkara ini ditekankan lagi oleh beliau bahawa guru bimbingan dan kaunseling membantu pelajar meneroka laluan kerjaya, bimbingan dalam pilihan bidang pengajian, membantu dalam pengurusan emosi dan memperjuangkan keperluan mereka. Kerjasama seperti ini membantu menyokong usaha tersebut dengan lebih holistik dan berimpak.
Beliau turut menyentuh isu perpaduan nasional serta pentingnya pendidikan nilai dan semangat patriotik dipupuk dalam kalangan pelajar sekolah.
“Saya puji langkah Kementeriaan Pendidikan memperkenalkan pemakaian lencana Jalur Gemilang di sekolah. ELMU sendiri sentiasa memainkan lagu “Negaraku” setiap pagi Isnin sebagai usaha membina identiti kebangsaan yang kukuh,” jelas beliau.
Beliau turut menyeru kepada guru bimbingan dan kaunseling bahawa menjadi badan profesional yang memikul tanggungjawab terhadap pembangunan sahsiah murid, warga MGKK wajar mendukung usaha kerajaan dalam membentuk generasi berjiwa besar dan cinta akan negara.

Turut hadir dalam majlis ialah Timbalan Presiden dan Pendaftar ELMU, YBhg. Dato’ Wan Azman Wan Omar dan Yang Dipertua MGKK Negeri Sembilan, YBrs. Encik Azril Razali.