Diterbitkan pada 24 April 2025, 15:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya — Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2024 mencatatkan pencapaian yang lebih baik berbanding dengan tahun sebelumnya, sekali gus merekodkan Gred Purata Kebangsaan (GPK) terbaik sejak pelaksanaan format baharu SPM pada 2021.

Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBhg. Datuk Haji Azman Adnan, dalam sidang media rasmi yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada pagi ini, mengumumkan bahawa GPK nasional bagi tahun 2024 ialah sebanyak 4.49, berbanding dengan 4.60 pada tahun 2023 dengan mencatatkan peningkatan sebanyak 0.11 mata. 

“Secara keseluruhannya, pencapaian calon bagi tahun 2024 adalah lebih baik berbanding dengan tahun 2023,” ujar beliau.

Menurut beliau, peningkatan ini mencerminkan keberkesanan pelbagai intervensi dan usaha berterusan KPM dalam usaha menyediakan sistem pendidikan yang inklusif dan berkualiti.

YBhg. Datuk Haji Azman mengulas bahawa jurang pencapaian antara calon bandar dengan luar bandar mengecil dengan kedua-dua kategori calon dari bandar dan luar bandar menunjukkan peningkatan berdasarkan Gred Purata Mengikut Lokasi. 

Calon bandar mencatatkan peningkatan sebanyak 0.11 mata manakala calon luar bandar mencatatkan peningkatan 0.09 mata. Jurang pencapaian antara kedua-dua kategori ini kekal kecil, iaitu dengan perbezaan hanya 0.02 mata. Hali ni membuktikan kemajuan dalam usaha KPM menangani ketidaksamaan pendidikan.

Beliau berkata sebanyak 355,933 calon (94 peratus) daripada 378,606 calon baharu layak menerima sijil SPM, berbanding dengan 93.5 peratus pada tahun 2023. Peningkatan sebanyak 6636 calon ini merupakan pencapaian terbaik sejak syarat pensijilan SPM ditetapkan pada tahun 2013. Syarat tersebut menetapkan calon mesti lulus subjek Bahasa Melayu dan Sejarah.

Sementara itu, sebanyak 237,010 calon (62.5 peratus) lulus semua mata pelajaran yang diduduki, berbanding dengan 60.6 peratus pada tahun sebelumnya. 

Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBhg. Datuk Haji Azman Adnan berkata Laporan Analisis Keputusan Perperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 boleh diakses secara dalam talian melalui laman web Lembaga Peperiksaan.

Bagi calon berkeperluan pendidikan khas (CBPK), sebanyak 1377 (78.7 peratus) daripada 1749 CBPK berjaya memperoleh sijil SPM, iaitu menurun sedikit berbanding 78.9 peratus pada 2023.

Daripada 95 mata pelajaran yang ditawarkan, sebanyak 59 calon mencatatkan peningkatan prestasi, 30 mata pelajaran menurun, manakala satu kekal dan lima mata pelajaran menggunakan format pentaksiran baharu. 

“Antara kumpulan mata pelajaran yang dianalisis termasuklah Teras, Elektif STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik), Elektif Bahasa, Pengajian Islam, Kemanusiaan dan Sastera Ikhtisas serta Kesenian,” ujar beliau.

YBhg. Datuk Haji Azman turut menyatakan bahawa fokus KPM kini tertumpu pada usaha untuk memperkasakan proses pembelajaran, menangani isu kehadiran calon SPM ke dewan perperiksaan, pemantapan literasi dan numerasi serta pelaksanaan intervensi bagi menangani keciciran terutamanya bagi calon yang bekerja pada waktu malam atau terjejas akibat bencana alam seperti banjir.

Beliau turut menyentuh inisiatif KPM untuk menilai semula keperluan serta pendekatan bagi SPM 2025, termasuk pembangunan rang undang-undang untuk mewajibkan pendidikan hingga peringkat sekolah menengah dan penyediaan bahan sokongan seperti DELIMa yang akan dipertingkatkan menjelang tahun hadapan.

“KPM akan terus komited dalam melaksanakan reformasi pendidikan demi membangun generasi Malaysia MADANI yang berilmu, berdaya saing dan berakhlak mulia,” kata beliau menutup sidang media yang turut dihadiri pegawai tinggi KPM termasuk Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembangunan), YBrs. Datuk Wan Hashim Wan Rahim; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), YBrs. Dato’ Ahmad Suhaimi Endut; Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Dasar dan Kurikulum), YBrs. Dr. Rusmini Ku Ahmad; Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), YBrs. Encik Zainal Abas dan Pengarah Peperiksaan di Lembaga Peperiksaan, Tuan Haji Roslan Abu Hassan.

Kredit Foto: Arina Musthafa
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi