Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Gagasan Malaysia MADANI sebagai hala tuju pentadbiran negara pada hari ini menjadi teras yang penting dalam pembinaan negara bangsa tatkala negara mengalami era pascanormal yang tidak menentu.
Pegawai Bahagian Kawal Selia FELDA, Jabatan Perdana Menteri, YBrs. Encik Zulkarnain Abdul Ghani menjelaskan bahawa dalam situasi dunia era pascanormal yang sukar dijangka dan penuh konflik, negara perlu diurus dengan pendekatan yang luar biasa dan memerlukan sebuah dasar nasional yang mantap untuk menanganinya.
Ujar beliau, wabak COVID-19 telah membawa seluruh negara di dunia menghadapi beberapa ciri perubahan seperti yang dihuraikan oleh penulis Inggeris, Ziauddin Sardar, iaitu kelajuan (speed), cakupan (scope), skala (scale) dan keserentakan (simultaneous) serta cabaran besar untuk mengurusnya seperti kerumitan (complexity), kekacauan (chaos) dan pertentangan (contradiction).
Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa sejarah kepimpinan negara yang mempunyai pemikiran berbeza sepanjang 67 tahun kemerdekaan negara menyaksikan pelbagai dasar dan pendekatan yang telah diketengahkan seperti Islam Hadhari, 1Malaysia dan kini Malaysia MADANI.

“Konsep Malaysia MADANI bukanlah suatu perkara yang baharu, sebaliknya telah diperkenalkan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim sejak tahun 1996 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada ketika itu,” katanya semasa menyampaikan perkongsian beliau dalam Seminar Kenegaraan Malaysia MADANI: Membina Negara Bangsa di Balai Budaya Tun Syed Nasir pagi tadi.
Oleh itu, gagasan Malaysia MADANI yang merangkumi enam nilai utama, iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan menjadi tonggak utama untuk menyesuaikan negara dengan cabaran ketika ini.
Di samping itu, beliau menyifatkan enam nilai tersebut terdiri daripada dua matlamat utama, yakni tiga nilai pertama yang melibatkan pembinaan negara manakala tiga nilai berikutnya berfokuskan pembinaan insan.
Dalam inti pati perkongsiannya juga, nilai kemampanan dalam gagasan berkenaan membawa makna tanggungjawab generasi kini untuk mewarisi dan memelihara segala perkara baik yang ditinggalkan oleh nenek moyang dahulu agar negara kekal dalam keadaan harmoni dan stabil.
Bahkan, beliau mengingatkan bahawa isu kenegaraan yang timbul tidak seharusnya diurus secara emosi, sebaliknya perlu ditangani secara rasional demi menjaga keharmonian politik dan sosial negara.
Pendekatan negara kini selaku Pengerusi ASEAN sedang menterjemahkan nilai kesejahteraan dalam mengekalkan keseimbangan ekonomi serantau.
Kata beliau, Malaysia bertindak bijak dan berani dalam mendepani ketidaktentuan ekonomi di negara jiran seperti Indonesia dan Myanmar, sambil mengekalkan hubungan stabil dengan negara seperti Singapura.
Menyentuh tentang nilai daya cipta, beliau juga menekankan bahawa keperluan negara untuk membina ciptaan baharu walaupun berdepan dengan cabaran dari segi kemampuan dan sumber sedia ada.
Turut hadir dalam seminar tersebut ialah Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), YBrs. Tuan Haji Md. Johari Hasan; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), YBrs. Encik Zulfa Hamzah; Pengarah Jabatan, Pengarah DBP Cawangan dan Wilayah, Ketua Bahagian, Ketua Editor, Ketua Unit serta para karyawan DBP.
