Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 21 April 2025, 09:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Timbalan Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof yang juga selaku Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air akan mengadakan lawatan kerja rasmi ke Turkiye dan London untuk meneroka peluang kerjasama dalam bidang peralihan tenaga.

Menurut kenyataan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air semalam,  beliau akan mengadakan beberapa kunjungan hormat semasa lawatan kerja di Ankara, Turkiye pada 22 April 2025.

Lawatan kerja ke negara republik berkenaan merupakan susulan lawatan rasmi presidennya, Tuan Yang Terutama (TYT) Recep Tayyip Erdogan ke Malaysia pada 10 hingga 11 Februari lalu.

Sesi kunjungan hormat beliau akan bermula dengan kunjungan hormat ke atas Timbalan Presiden Republik Turkiye, TYT Cevdet Yilmaz, diikuti dengan kunjungan hormat ke atas Menteri Tenaga dan Sumber Asli Turkiye, TYT Alparslan Bayraktar, untuk meneroka potensi kerjasama dalam bidang peralihan tenaga susulan daripada pertukaran Surat Hasrat antara kedua-dua negara tersebut.

Selain itu, ujar kenyataan tersebut, beliau akan mengadakan lawatan kerja ke sebuah syarikat tenaga di negara tersebut, iaitu GEAS untuk meneroka potensi kerjasama yang dapat dilaksanakan dalam bidang strategik tersebut.

“Republik Turkiye merupakan negara terbesar dalam penghasilan tenaga boleh baharu di benua Eropah dan dunia, dengan keupayaan menghasilkan lebih daripada 50 peratus kapasiti tenaga elektrik daripada sumber penjanaan tenaga bersih seperti suria, hidroelektrik dan geotermal,” katanya.

Sementara itu, bagi lawatan kerja rasmi di London pula, beliau akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak mengenai Masa Depan Keselamatan Tenaga selama dua hari bermula 24 hingga 25 April 2025.

Sidang kemuncak antarabangsa anjuran Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) dan Kerajaan United Kingdom itu menyediakan platform bagi para pemimpin, penggubal dasar dan pihak berkepentingan untuk berbincang dan bertukar-tukar pandangan mengenai keselamatan sumber dan bekalan tenaga, kepentingan kestabilan geopolitik dan ekonomi global, serta perkembangan pesat teknologi dalam pembangunan sektor tenaga.

Tambahnya lagi, fokus utama persidangan tersebut akan menyentuh mengenai keselamatan sumber dan bekalan tenaga merangkumi pemetaan landskap keselamatan tenaga serta mengenal pasti risiko, peluang dan tindakan untuk memastikan keterjaminan sumber dan bekalan tenaga.

“Kehadiran YAB Timbalan Perdana Menteri merupakan pengiktirafan terhadap komitmen, peranan dan pencapaian Malaysia dalam usaha mendepani pelbagai isu berkaitan dengan tenaga, khususnya keselamatan bekalan dan peralihan tenaga,” jelasnya.

Melalui sidang kemuncak ini, dasar sedia ada dan hala tuju negara, khususnya berkaitan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR), usaha dan komitmen negara melaksanakan penjanaan tenaga pada masa hadapan menggunakan sumber bahan api bersih dan teknologi hijau akan dapat diketengahkan.

Hubungan dua hala Malaysia dan United Kingdom akan diperkukuh melalui penerokaan potensi kerjasama, khususnya tentang penggubalan dasar, kawal selia dan perundangan, serta memahami cabaran dan kaedah penyelesaian terbaik untuk memastikan keselamatan dan keterjaminan bekalan tenaga.

Malah, beliau akan turut mengadakan perbincangan dua hala bersama-sama dengan menteri tenaga dan ketua organisasi antarabangsa tenaga.

“Peluang ini dimanfaatkan dengan sebaiknya untuk mempromosikan negara sebagai destinasi pelaburan serta membuka peluang kepada pelbagai pihak berkepentingan untuk mendapatkan penjelasan berhubung dasar dan hala tuju negara, khususnya dalam usaha membangunkan sektor tenaga dan teknologi rendah karbon ke arah menyokong aspirasi peralihan tenaga negara,” tegasnya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi