Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangGambang – Menteri Besar Pahang, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail telah melancarkan secara rasmi Pahang Lead 2025 yang merupakan inisiatif strategik berskala besar bagi memacu pembangunan jati diri dan kepimpinan anak muda negeri di Dewan Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Kampus Gambang semalam.
“Inisiatif ini bukan sekadar program, tetapi pelaburan masa depan. Bukan sahaja melahirkan pelajar cemerlang akademik, tetapi turut menjadi pemimpin berjati diri, faham akan aspirasi negeri, dan bersedia mendepani cabaran masa depan,” ujar Menteri Besar Pahang dalam ucapan perasmian yang berlangsung semalam.
Pahang Lead 2025 yang dirangka hasil kolaborasi erat antara Kerajaan Negeri, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang dan Yayasan Pahang, kini menjadi platform paling signifikan dalam mencorak hala tuju kepimpinan generasi baharu kesinambungan dari program yang telah bermula pada tahun lalu.
Bagi tahun ini, Pahang Lead 2025 akan diperluas dengan modul lebih mantap, segar dan berimpak tinggi dengan objektif mencungkil lebih banyak bakat baharu dari seluruh pelosok negeri.

Pada tahun 2024, sebanyak 55 orang pelajar sekolah berpotensi tinggi telah dikenal pasti melalui empat peringkat saringan ketat dan untuk tahun ini, sebanyak 251,279 pelajar sekolah di seluruh negeri Pahang akan terlibat dalam Modul Tier Satu Pahang Lead. Dengan menjalani proses penilaian dan saringan bertahap, sehingga akhirnya sebanyak 66 orang pelajar terbaik yang menonjol dari aspek bakat, kepimpinan, disiplin dan nilai murni akan dipilih untuk ke puncak Tier Empat dan seterusnya ke tahap Pahang Elit.
Peruntukan sebanyak RM2 Juta turut diumumkan dan disampaikan oleh Menteri Besar kepada Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri, Yang Berhormat (YB) Dato’ Seri Ir. Mohd. Soffi Abd Razak semalam sekali gus membuka ruang kepada pelaksanaan program bersasar, termasuk pembinaan nilai, kepimpinan pelajar, kem patriotisme dan projek komuniti kepimpinan.

Turut hadir, Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO), YB Tuan Fadzli Mohamad Kamal; Speaker Dewan Undangan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Sharkar Shamsudin; Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, YB Dato’ Indera Nazri bin Abu Bakar; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, (Yang Hormat) YH Dato’ Indera Mahmud Mohd Nawawi; Pemangku Pengarah Pendidikan Negeri Pahang, YBrs. Tuan Ahmad Zamri bin Md. Isa; Pegawai-pegawai kanan kerajaan, wakil-wakil jabatan dan agensi pelaksana serta pelajar tingkatan enam sekolah sekitar Pahang.
Dengan sokongan padu pelbagai pihak, Pahang Lead 2025 diyakini bakal meletakkan negeri ini sebagai peneraju pembangunan modal insan dan kepimpinan pelajar yang holistik, seiring dengan kemajuan negara secara keseluruhan.