Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Tengah, Yang Berusaha (YBrs.) Puan Nurul Julia Alani Henrey memaklumkan bahawa pelaksanaan Program Kembara Majalah Dalam Kelas ini mampu mengasah bakat penulisan kreatif pelajar seperti penulisan cerpen dan sajak.
Demikian ucapan yang disampaikan oleh Pengarah DBP Wilayah Tengah, YBrs. Puan Nurul Julia sewaktu merasmikan Program Kembara Majalah Dalam Kelas Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Sekolah Kebangsaan Taman Seri Rampai, pada hari ini.
Beliau berkata, para pelajar harus mengambil peluang untuk menghasilkan karya yang menarik untuk diterbitkan dalam majalah terbitan DBP.
“Saya berharap agar pelajar yang hadir pada hari ini, sama ada dari sekolah rendah mahupun menengah dapat menghantar karya sebanyak mungkin kepada editor DBP untuk bimbingan dan tunjuk ajar,” kata beliau.
Beliau juga menjelaskan bahawa program Kembara Majalah Dalam Kelas merupakan satu daripada inisiatif DBP untuk menggalakkan pembudayaan membaca dalam kalangan pelajar.
Selain itu, program ini juga turut dimasukkan dalam Pelan Strategik Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) 2024 – 2030 di bawah sasaran petunjuk prestasi DBP melalui Teras Strategik 1: Meningkatkan Akses dan Kualiti Pendidikan dan Strategi 2: Meningkatkan Kualiti Pendidikan

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Unit Bahasa, Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL), Puan Syarifah Aini Yaacob berkata program Kembara Majalah Dalam Kelas ini merupakan sebuah platform dinamik yang dirangka khusus untuk memperkasakan pengajaran dan pembelajaran dalam Bahasa Melayu dalam kalangan guru.
“Inisiatif ini dapat merangsang keberkesanan serta menyemarakkan budaya membaca dalam kalangan guru dan pelajar untuk meningkatkan literasi pembacaan,” jelas beliau.
Program ini juga memberikan manfaat kepada guru dan pelajar kerana penggunaan majalah dalam kelas mampu menjadi wahana yang merentas era globalisasi.
Puan Syarifah Aini turut menyatakan bahawa program ini mampu mengasah keupayaan murid untuk menilai, mentafsir dan melontarkan buah fikiran secara kreatif dan kritis. Manakala bagi pihak guru pula, mereka dapat meneroka pelbagai teknik dan strategi dalam pengajaran Bahasa Melayu secara kontekstual dan berimpak tinggi.
“Dengan menggunakan majalah terbitan DBP, guru dapat mempelbagaikan kaedah pembelajaran, di samping meningkatkan penguasaan pemikiran aras tinggi melalui pelaksanaan aktiviti dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) di dalam kelas,” ujar beliau.
Program MDK ini merupakan satu daripada usaha kerajaan untuk menyokong aspirasi pembelajaran dalam kelas selaras dengan aspirasi pentaksiran dalam bilik darjah.
“Pentaksiran dalam kelas dinilai secara berterusan bermula pada peringkat awal hingga akhir persekolahan,” jelas beliau.
Beliau turut menaruh harapan yang tinggi agar program MDK pada kali ini bukan sahaja menjadi aktiviti tahunan bahkan mampu berkembang sebagai gerakan literasi yang berakar dalam budaya sekolah pada masa hadapan.

Pelaksanaan Program Kembara MDK Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur melibatkan penyertaan sebanyak 95 orang pelajar sekolah menengah sekitar Kuala Lumpur. Pengisian program pada kali ini merangkumi aktiviti teka peribahasa, ejaan, ulasan cerpen, merumuskan petikan dan kuiz menara belon yang dibimbing oleh editor majalah Dewan Siswa, Puan Siti Irni Yuslinda Mosman.

Program Kembara MDK Dewan Siswa dapat membantu pelajar sekolah menengah meningkatkan kefahaman untuk menjawab soalan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekali gus dapat mencungkil bakat penulisan dalam kalangan pelajar.

Sehubungan dengan itu, Program Kembara MDK juga diperluas kepada murid sekolah rendah untuk majalah Dewan Pelajar. Sebanyak 100 orang murid sekolah rendah sekitar Kuala Lumpur berjaya dikumpulkan. Editor majalah Dewan Pelajar, Puan Nur Fatin Ainina Nor Azman memberikan pendedahan kepada pelajar tentang peluang berkarya dalam majalah Dewan Pelajar. Selain itu, mereka juga boleh membuat latih tubi berdasarkan modul yang disampaikan dalam majalah tersebut.

Program Kembara MDK ini bukan sahaja melibatkah para pelajar, malahan guru pengiring juga turut terlibat dalam Bengkel Majalah Dalam Kelas untuk Guru. Sebanyak 51 orang guru sekolah rendah dan menengah telah menyertai Bengkel Majalah Untuk Guru (MDKUG) yang telah disampaikan oleh Tuan Haji Suhasni Dollah, yang merupakan Munsyi Dewan Bahasa.
Bengkel ini memberikan fokus kepada kaedah kreatif dan berkesan untuk menggunakan majalah sebagai bahan bantu mengajar bagi meningkatkan minat dan pemahaman murid dalam pembelajaran. Antara pengisian bengkel tersebut termasuklah aktiviti PdP berasaskan artikel majalah seperti “Melagukan Sajak”, “Menukarkan Rencana kepada Syair/Sajak/Pantun” dan “Menulis Berita”.


Turut hadir dalam ini ialah Penolong Pengarah JPWPKL Sektor Sumber dan Teknologi, Puan Nurul Aidah Deraman; Guru Besar SK Taman Seri Rampai, Encik Hazizan Hussin, Timbalan Ketua Editor Bahagian Majalah DBP, Puan Siti Norsuhaila Samsudin, Guru-guru SK Taman Seri Rampai dan ahli jawatankuasa Program Kembara MDK Peringkat JPWPKL.