Diterbitkan pada 18 April 2025, 17:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

oleh: ELMU

Seremban – Sebanyak 30 orang pelajar baharu telah mendaftar sebagai kohort kedua di Enforcement, Leadership and Management University (ELMU) dalam majlis orientasi yang diadakan di kampus Bandar Enstek bersempena dengan pengambilan pada April ini.

Naib Canselor merangkap Ketua Pegawai Eksekutif ELMU, YBhg. Profesor Datuk Dr. Kassim Noor Mohamed menasihati para pelajar agar sentiasa memupuk rasa ingin tahu dan berani mencabar diri untuk melangkaui sempadan ilmu yang sedia ada. Pelajar juga dinasihatkan supaya aktif dan melibatkan diri dalam projek serta aktiviti yang dapat memperkasakan perkembangan akademik dan profesional mereka.

“Pada fasa awal, nasihat saya mudah sahaja, iaitu kekalkan rasa ingin tahu, rajin bertanya dan cabar diri anda untuk belajar lebih daripada perkara yang anda tahu pada hari ini. Sertailah projek dan perbincangan yang dapat membantu anda berkembang secara menyeluruh,” ujar beliau.

Beliau turut mengalu-alukan keputusan para pelajar untuk melanjutkan pengajian dalam bidang berkaitan dengan penguatkuasaan undang-undang, sambil menekankan kepentingan untuk kekal bersemangat dan bersedia menghadapi masa hadapan yang penuh cabaran dan peluang.

“Hari ini merupakan titik permulaan kepada suatu perjalanan baharu. Di ELMU, anda akan menemui pelbagai peluang untuk mengenal diri, menentukan hala tuju dan membina masa depan. Kami komited terhadap misi untuk melahirkan individu yang berpengetahuan, beretika dan holistik yang mampu berbakti kepada masyarakat dan dunia. Visi kami adalah untuk menjadi institusi pendidikan unggul yang melahirkan warganegara global yang bersifat ihsan, inovatif dan berintegriti,” tambah beliau.

Pengambilan pelajar baharu pada kali ini melibatkan enam program akademik daripada peringkat diploma, sarjana muda, sarjana dan ijazah kedoktoran (PhD), iaitu Diploma dalam Penguatkuasaan Undang-undang, Diploma Pengurusan Bencana, Sarjana Muda Penguatkuasaan Undang-undang, Sarjana Muda Pengurusan Bencana, Sarjana Sains dalam Perisikan dan Pengawasan, serta PhD dalam Penguatkuasaan Undang-undang.

ELMU mula beroperasi selepas menerima lesen pada Februari 2024 dan telah memulakan pengambilan pertamanya pada Oktober tahun yang sama.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi