Diterbitkan pada 17 April 2025, 14:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Melaka – Pertandingan Forum Remaja 2025 pada kali ini tampil dengan format yang berlainan apabila memasukkan elemen teknologi digital dalam pelaksanaannya yang bertujuan menjadikan pertandingan ini lebih relevan, mesra digital dan menarik kepada golongan remaja.

Demikian ucapan daripada Ketua Bahagian Perkembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja, Encik Ja’afar Hamdan ketika menyampaikan Taklimat Format Baharu Pertandingan Forum Remaja 2025 dengan kerjasama daripada pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka pada 10 April 2025.

Menurutnya, selaras dengan perkembangan teknologi semasa, Peserta Forum Remaja 2025 mestilah menyediakan video montaj yang mempunyai durasi 60 saat pada peringkat saringan, suku akhir, separuh akhir dan peringkat akhir.

“Hal ini merupakan pembaharuan yang diwajibkan dalam pertandingan Forum Remaja pada tahun 2025 ini berbanding dengan edisi terdahulu. Selain itu, peserta juga digalakkan untuk memaparkan data dan sumber yang relevan bagi mengukuhkan hujah mereka dalam perbincangan isu pada paparan digital yang disediakan ketika pertandingan berlangsung,” ujarnya.

Selain itu, Format Baharu Penganjuran Pertandingan Forum Remaja 2025 ini juga bertujuan untuk menilai sejauh mana peserta cakna terhadap isu semasa bagi merangsang minda peserta dan meningkatkan pengetahuan mereka mengenai isu yang berlaku pada masa ini tanpa melibatkan topik sensitif seperti 3R (Race, Religion and Royalty).

Encik Ja’afar Hamdan juga memaklumkan bahawa tema untuk sesi pertama pada peringkat negeri akan diberikan dua minggu sebelum pertandingan, manakala pada peringkat kebangsaan, tema tersebut akan diumumkan seminggu sebelum pertandingan.

“Peserta akan mengulas isu tersebut berdasarkan tema yang diberikan pada setiap peringkat, sementara tema bagi forum spontan hanya akan diumumkan pada hari pertandingan,” tambah beliau.

Turut hadir dalam taklimat tersebut ialah Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Selatan, Tuan Haji Mohd. Riduwan Wahab, Pegawai Pendidikan Negeri Johor dan Pegawai Pendidikan Negeri Sembilan.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi