Diterbitkan pada 16 April 2025, 19:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Seremban – Sebanyak 163 orang murid Sekolah Kebangsaan (SK) Lavender Heights Seremban telah menerima cermin mata percuma daripada Yayasan Tengku Abdullah (YTA) dalam satu majlis khas yang diadakan di Dewan Fatimah Az-Zahra, semalam.

Selain itu, SK Lavender Heights juga menerima dua unit televisyen pintar (Smart TV) yang merupakan manfaat daripada inisiatif kebajikan pendidikan oleh YTA.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Pengerusi Yayasan Tengku Abdullah Yang Mulia (YM) Tengku Shaheera Tengku Abdullah yang turut menyampaikan amanat serta menyantuni para penerima dan warga sekolah.

Dalam ucapannya, YM Tengku Shaheera berkata, YTA merupakan sebuah organisasi yang bertindak sebagai penggerak usaha dan program kebajikan syarikat FOMEMA Sdn. Bhd. bagi membantu golongan yang memerlukan.

YM Tengku Shaheera Tengku Abdullah menyampaikan sumbangan cermin mata kepada murid yang layak.

Menurut beliau, pendidikan bukan hanya tentang buku dan kelas sahaja tetapi perlu memastikan setiap pelajar memiliki akses dan keupayaan untuk belajar dengan selesa dan berkesan. Pendidikan berkualiti harus disertai dengan kemudahan yang menyokong keperluan pembelajaran, termasuklah akses kepada teknologi dan keupayaan penglihatan yang tidak boleh diabaikan dalam dunia digital ini.

Tambah beliau lagi, sumbangan cermin mata dan dua buah televisyen pintar ini diharap dapat mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih baik dan selesa kepada para pelajar.

“Sokongan dan kerjasama daripada pihak Eyewear Optometry yang menjadi rakan kolaborasi bagi pemeriksaan mata dan penyediaan preskripsi cermin mata yang diperlukan telah memudahkan urusan penyerahan cermin mata kepada para pelajar pada hari ini,” ujarnya.

Sementara itu, Guru Besar SK Lavender Heights, Puan Suziana Awaludin  merakamkan ucapan penghargaan atas sumbangan cermin mata tersebut kepada murid yang memerlukannya.

“Kami amat bersyukur dan berterima kasih kepada Yayasan Tengku Abdullah atas sumbangan yang sangat bermakna ini. Pastinya, sumbangan cermin mata dan dua unit televisyen pintar ini akan dimanfaatkan oleh murid dan pihak sekolah dalam usaha untuk memperkukuh pembelajaran digital di sekolah selari dengan Dasar Pendidikan Digital yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia,” ujar beliau lagi.

Turut hadir sama dalam majlis ini ialah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif FOMEMA Sdn. Bhd., Encik Muhammad Fawzul Mohd Yusoff; Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Bakat Murid, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Negeri Sembilan, Encik Shamsudin Redza; Pegawai Mesra Sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah Seremban, Puan Siziana Harun, Yang di Pertua PIBG SK Lavender Heights, Encik Suhail Yaacob; serta murid yang penerima sumbangan cermin mata.

Majlis ini juga turut disajikan dengan persembahan angklung dengan lagu “Falling in love with you” daripada murid tahun empat, tahun lima dan tahun enam di bawah  bimbingan Puan Suraya Abdul Jalil.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi