Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah atas pemergian Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi, pada 14 April 2025.
Dalam suatu hantaran di laman Facebook rasminya, beliau menyifatkan Allahyarham Tun Abdullah bukan sekadar pemimpin negara, malah seorang insan berjiwa besar yang menerapkan naratif baharu dalam politik kekuasaan di Malaysia.
“Dengan pendekatan Islam Hadhari, Allahyarham Pak Lah menjambatani antara aspek kemajuan dengan pembangunan dengan nilai,” ujar beliau.
“Setelah menerima berita yang amat menyentak jiwa, sahabat saya yang juga mantan Perdana Menteri Malaysia yang kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi telah kembali menemui Ilahi,” ujar Perdana Menteri, YAB. Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Beliau turut menyatakan bahawa masih segar dalam ingatannya tatkala kali terakhir menziarahi beliau yang berada dalam keadaan yang sangat uzur lantas meruntun jiwa yang hiba.
Menurut beliau, di bawah kepemimpinan Pak Lah, rakyat Malaysia telah menyaksikan reformasi dalam bidang kehakiman, ketelusan dalam pentadbiran, dan pemerkasaan institusi.
“Allahyarham Pak Lah ialah figura yang memerdekakan suara rakyat melalui pembukaan ruang media dan penyertaan awam. Pentadbiran beliau berpaksikan Rancangan Malaysia Kesembilan yang memacu pertumbuhan ekonomi serta memfokuskan pembangunan insan dan di pedesaan.
Bahkan lebih daripada segala pencapaian itu, Pak Lah turut mengajarkan erti kemanusiaan dalam kepemimpinan. Beliau memimpin dengan wajah yang tidak marah, tangan yang tidak menggenggam kuasa dan suara yang tidak meninggi meskipun diasak bertubi-tubi.” ujar beliau.
“Selamat jalan Pak Lah”, akhiri YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Beliau mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan para solihin, diampunkan segala dosanya dan dikurniakan ganjaran syurga atas segala kebajikan yang telah ditabur sepanjang hayat beliau.