Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Negara berkabung atas pemergian Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi yang meninggal dunia pada usia 85 tahun.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada pukul 7.10 malam di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.
Berita duka itu dimaklumkan oleh menantu beliau, mantan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menerusi satu hantaran dalam Instagram peribadinya.
Tun Abdullah yang lebih mesra dikenali sebagai “Pak Lah”, dikenang sebagai seorang pemimpin berjiwa sederhana yang menekankan nilai integriti dan Islam Hadhari sepanjang tempoh pentadbirannya dari tahun 2003 hingga tahun 2009.
Menurut Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr. Hazami Jahari pemergian Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi merupakan satu kehilangan yang besar buat negara. Semasa pentadbiran beliau, Perdana Menteri kelima Malaysia itu amat menekankan aspek pembangunan modal insan dalam usaha melahirkan masyarakat yang berhemah tinggi dan berbudi pekerti mulia.

Hal ini bersesuaian dengan anugerah yang diterima oleh beliau, iaitu Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Khas Bapa Pembangunan Modal Insan Malaysia.
Tambah beliau;
“Gagasan yang dibawa oleh Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi patut dicontohi dalam usaha membawa kecemerlangan kepada negara dalam aspek politik, ekonomi dan sosial. Misalnya, dalam Rancangan Malaysia Kesembilan, jelas memperlihatkan beliau sebagai seorang pemimpin yang bersemangat waja dan berwibawa. ”
Selain itu, semasa pentadbiran beliau juga, Malaysia menyaksikan pelbagai pembaharuan dalam bidang pendidikan, ekonomi dan pentadbiran awam, termasuklah penekanan terhadap tadbir urus baik dan pengukuhan institusi negara.
Ujar beliau lagi,
“Dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu, beliau merupakan pemimpin pertama yang melancarkan Program Bulan Bahasa dan Sastera Negara pada tahun 1999 yang pada ketika itu menjawat jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia.”
Pemergian Tun Abdullah merupakan satu kehilangan besar buat negara. Jasa dan legasi beliau akan terus dikenang dalam lipatan sejarah tanah air.