Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuantan – Pantai Batu Hitam di Beserah mencatatkan detik bersejarah apabila lebih 30,000 rakyat pelbagai kaum dan latar belakang hadir memeriahkan Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 Peringkat Negeri Pahang Jumaat lalu, yang turut disertai dua pemimpin tertinggi negara, iaitu Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Majlis anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pahang itu bukan sahaja menjadi simbolik sambutan Syawal, malah turut menyerlahkan semangat perpaduan, kasih sayang dan kebersamaan rakyat dalam kerangka Malaysia MADANI.
Dalam ucapan beliau, Perdana Menteri menekankan pentingnya hubungan erat antara kerajaan negeri dengan Persekutuan dalam menjamin kemajuan negara.

“Hubungan antara kerajaan negeri dengan kerajaan pusat bukan melibatkan struktur pentadbiran smeata-mata, tetapi jambatan keyakinan, ruang perpaduan dan wahana untuk menjulang martabat rakyat,” ujar beliau.
YAB Dato’ Seri Anwar juga menegaskan keperluan tadbir urus berintegriti dalam memastikan hasil negara dapat diagih dengan adil dan berkesan.
“Pentadbiran yang jujur dan amanah adalah kunci untuk menjana hasil yang mencukupi dan dilimpahkan kembali kepada rakyat,” tegas beliau.
Sementara itu, Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyifatkan kehadiran serentak Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri sebagai suatu detik istimewa buat negeri itu.
“Hari ini merupakan detik dalam lipatan sejarah negeri Pahang apabila Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri bersama-sama turun padang bertemu dengan rakyat. Kehadiran di luar jangkaan ini menggambarkan kasih sayang rakyat terhadap pemimpin mereka,” ujar beliau.

Suasana majlis diserikan dengan pelbagai juadah tradisional Melayu termasuk sate, lemang, ketupat, rendang dan kuih-muih, selain persembahan artis tersohor seperti Datuk M. Nasir, Mawi, Hael Husaini, Nadeera Zaini dan Daiyan Trisha, yang menghiburkan pengunjung dengan persembahan harmoni dan penuh nostalgia. Artis tempatan seperti CSE Buskers, D’Rural Band dan Kombo SUK Pahang turut menyumbang kemeriahan suasana.
Turut hadir menyantuni rakyat dalam majlis itu ialah Menteri Komunikasi, YB Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil; Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, YBhg. Dato’ Indera Nazri Abu Bakar.