Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutra Height– Academic Support Team (AST) Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor bersama-sama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Petaling Perdana telah melaksanakan Misi Menyantuni Mangsa Kebakaran di Putra Height.
Bencana kebakaran yang melanda kawasan Putra Heights telah meninggalkan kesan yang mendalam, khususnya kepada murid-murid yang terjejas akibat daripada tragedi itu.
Menyedari kepentingan kesinambungan pendidikan dalam situasi pascabencana, misi ini telah berlangsung pada 2 hingga 4 April 2025 dan 7 hingga 11 April, bertempat di dua buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) iaitu Dewan Masjid Putra Heights dan Dewan Camelia.
Tujuan utama misi ini adalah untuk memastikan murid yang menjadi mangsa kebakaran tidak tercicir dalam pembelajaran dan terus mendapat akses pendidikan yang berkesan.

Penekanan diberikan kepada kesinambungan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) serta pemulihan semangat murid melalui pendekatan bimbingan dan aktiviti sokongan.
Antara pengisian utama program ialah pemberian modul instruksional kepada murid-murid sebagai panduan pembelajaran kendiri.
Selain itu, murid turut dibimbing oleh petugas AST untuk menyiapkan latihan dalam modul dan melibatkan diri dalam aktiviti pembelajaran secara berpasangan atau berkumpulan. Pendekatan ini dilihat mampu meningkatkan sokongan rakan sebaya serta memulihkan motivasi dan minat murid terhadap pembelajaran.
Pelbagai aktiviti menarik dan interaktif turut dilaksanakan seperti pengenalan negeri-negeri di Malaysia, pengukuhan kemahiran membaca, menulis dan bertutur dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, pengukuhan kemahiran asas Matematik dan aktiviti origami atau teknik lipatan dalam mata pelajaran Pendidikan Seni Visual.
Sepanjang misi ini, sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) telah dilaksanakan dalam dua slot, iaitu slot 1 bermula pada 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari dan slot 2 pula berlangsung pada 2.30 hingga 4.00 petang.

Penglibatan AST amat diperlukan bagi menjayakan Misi Menyantuni Mangsa Kebakaran di Putra Heights. Pada 2 hingga 4 April 2025, sebanyak empat orang petugas AST daripada PPD Petaling Perdana telah menyertai misi ini. Pada 7 hingga 11 April 2025 pula, penglibatan AST adalah sebanyak 18 orang petugas daripada JPN Selangor dan sembilan orang petugas daripada PPD Petaling Perdana.
Keprihatinan dan usaha gigih petugas AST membuktikan komitmen JPN Selangor dan PPD Petaling Perdana dalam memastikan setiap murid terus memperoleh pendidikan berkualiti walaupun berada dalam situasi yang sukar.
Oleh itu, selaras dengan slogan JPN Selangor Sentiasa Berkualiti dan Terus Unggul dan SPb Sederap Bersama Mencapai Visi, misi ini menjadi cerminan usaha bersepadu seluruh warga pendidikan untuk memastikan tiada murid yang tercicir daripada arus pendidikan negara.