Diterbitkan pada 9 April 2025, 14:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Cyberjaya – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah bertindak dalam memastikan perkhidmatan komunikasi di sekitar Putra Heights dan beberapa Pusat Penempatan Sementara (PPS) kekal stabil susulan insiden kebakaran saluran gas yang berlaku pada pagi Selasa, 1 April 2025 lalu.

Menurut kenyataan media SKMM semalam, insiden tersebut telah menjejaskan sembilan struktur telekomunikasi di sekitar kawasan kejadian — satu milik CelcomDigi, dua milik Maxis dan enam milik U Mobile. Semua struktur ini mengalami gangguan bekalan elektrik. Hasil tindakan pemulihan segera oleh syarikat penyedia perkhidmatan (Telco), semua perkhidmatan berjaya dipulihkan sepenuhnya pada hari yang sama.

Struktur sementara yang dipasang di luar PPS Masjid Putra Heights bagi meningkatkan kualiti liputan telekomunikasi.

Bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan Internet kepada para petugas dan mangsa yang berlindung di PPS Masjid Putra Heights, pihak Telco telah mengambil langkah segera dengan mengoptimumkan struktur sedia ada untuk memenuhi peningkatan keperluan perkhidmatan.

Selain itu, sebuah unit Mobile Cellular Vehicle (MCV) turut digerakkan ke lokasi bagi meningkatkan lagi kualiti liputan di kawasan berkenaan. Pada masa yang sama, Telekom Malaysia (TM) telah menyediakan kemudahan WiFi percuma di dua lokasi PPS sebagai langkah tambahan.

Sebagai sokongan kepada mangsa yang terkesan, pihak Telco kini sedang giat berhubung dengan pelanggan mereka bagi menawarkan bantuan seperti penggantian kad SIM dan peranti yang rosak, penyelarasan bil serta membuka kaunter perkhidmatan khas di lokasi PPS untuk memudahkan urusan mereka. 

Menurut kenyataan media SKMM semalam, agensi tersebut akan terus memantau secara rapi dan bekerjasama dengan semua pihak terlibat bagi memastikan kualiti perkhidmatan komunikasi kekal pada tahap terbaik khususnya kepada mangsa yang berlindung di PPS.

Kredit Foto: SKMM
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi