Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 8 April 2025, 23:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat (YB) Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir mengadakan lawatan kerja rasmi ke Istanbul, Republik Turkiye dan Riyadh, Arab Saudi bermula hari ini hingga 14 April untuk memperkukuh jaringan strategik dan kerjasama dua hala dalam sektor pendidikan tinggi.

Menurut Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), lawatan kerja selama tujuh hari tersebut merupakan usaha strategik untuk meletakkan pendidikan tinggi Malaysia pada pentas global, selain memperkukuh potensi negara sebagai pemain utama dalam sektor berkenaan.

Jelas pihaknya, beliau memulakan lawatan kerjanya ke Republik Turkiye dengan menghadiri dan menyampaikan ucaptama dalam Sidang Kemuncak Pendidikan Tinggi Eurasia Tahunan ke-10 (EURIE) 2025 bertemakan “Memajukan Kerjasama dalam Perubahan Landskap Pendidikan Tinggi”.

“Acara tersebut merupakan persidangan dan pameran pendidikan tinggi antarabangsa tahunan yang menghubungkan sektor pendidikan tinggi rantau Eurasia dengan rantau lain di dunia,” ujarnya dalam suatu kenyataan hari ini.

Selain itu, KPT memaklumkan bahawa beliau akan mengadakan kunjungan hormat kepada Presiden Majlis Pendidikan Tinggi, Profesor Dr. Erol Özvar dan seterusnya mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Malaysia–Turkiye bagi merangka peluang kerjasama institusi pengajian tinggi.

Mesyuarat itu bakal menyaksikan pertukaran dokumen rasmi antara kedua-dua institusi pendidikan tinggi Malaysia–Turkiye.

Pada masa yang sama, beliau turut merasmikan Forum Antara Universiti Turki–Malaysia bagi memperkukuh kerjasama penyelidikan dan pembangunan serta pembangunan bakat.

Malah, pihak KPT berkata beliau juga mengadakan lawatan ke Program Luar Pesisir Universiti Sains Malaysia dan Istanbul Technical University (ITU), di samping menyantuni pelajar dan alumni Malaysia di Istanbul untuk bertukar pandangan berhubung dengan hala tuju pendidikan tinggi negara sepanjang beliau berada di sini.

Sementara itu, bagi lawatan kerja beliau ke Riyadh atas jemputan kerajaan Arab Saudi pula adalah untuk menghadiri Persidangan Inisiatif Keupayaan Insan (HCI) 2025 dan menyertai Meja Bulat Menteri yang disertai oleh Menteri Pendidikan Tinggi dari 16 buah negara lain.

HCI dijangka membincangkan literasi kecerdasan buatan, pembangunan kemahiran sejajar dengan pasaran buruh dan pembelajaran sepanjang hayat.

Beliau akan mengakhiri lawatan kerja ke Arab Saudi dengan mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Pendidikan Arab Saudi, Tuan Yang Terutama (TYT) Yousef Al-Benyan.

Semasa pertemuan tersebut, kedua-dua pemimpin akan membincangkan usaha untuk memantapkan kerjasama dalam ekosistem pendidikan tinggi antara Malaysia dan Arab Saudi.

Tegas KPT lagi, lawatan ini dijangka akan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi serantau dan antarabangsa, selain membina kerjasama dalam usaha memperkasakan sistem pendidikan yang responsif terhadap perubahan landskap global.

“Hal ini selaras dengan teras Malaysia MADANI yang bermatlamat untuk mengubah Malaysia menjadi negara lebih makmur dan maju berteraskan enam nilai MADANI melalui kepercayaan antara kerajaan dengan rakyat, dasar ketelusan dan kerjasama,” katanya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi